Ahad, 4 September 2011

`Mengapa Umno hipokrit’

FREE MALAYSIA TODAY

PETALING JAYA: Seorang pemimpin kanan PAS mendakwa parti Islam itu tidak pernah berbaik-baik dengan komunis sebaliknya menuduh Umno telah mengadakan perjanjian persefahaman (MOU) dengan Parti Komunis China.

Idris Ahmad, bekas Ketua Penerangan PAS yang kini AJK Pusat mendakwa, Umno telah mengadakan MOU dengan Parti Komunis Cina pada 5 Ogos lalu.

Malahan ada usaha untuk menghantar Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno untuk mempelajari daripada Parti Komunis Cina, dakwanya dalam blog beliau hari ini.

“Sekiranya MOU ini dibuat oleh PAS atau DAP atau PKR, maka sudah tentu sebelum turun daripada kapalterbang akan disumbat ke Kemunting.

“Apakah Komunis China, berbeza dengan komunis Malaya? Bukankah Parti Komunis Malaya bernaung di bawah Parti Komunis China?

“Komunis, ideologinya tetap sama tidak kira di mana tempat. Kenapa Umno hipokrit? Jika benar anti komunis kenapa menghantar pulang 11 pejuang Uighurs ke China, walaupun dibantah oleh Suruhjaya Tinggi PBB bagi Orang Pelarian di Kuala Lumpur.

Pekak dan buta

“Sedangkan mereka ini menentang kerajaan komunis China kerana menceroboh wilayah mereka d Xinjiang pada Julai 2009.

“Inilah sikap hipokrit Umno dalam apa jua isu. Isu Palestin Umno tunjuk hero, tetapi dalam masa yang sama, Apco Yahudi dibayar RM77 juta setahun,” tambahnya.

Idris mendakwa, Umno melalui bantuan media mereka yang tidak ada etika kewartawanan dan tidak takut dosa dan pahala dengan sewenang-wenangnya menuduh PAS menyokong komunis.

Beliau berkata, orang pekak dan buta pun tersenyum apabila Umno menuduh PAS sokong komunis.

“Tidak ada rekod Pas berbaik dengan komunis. Sedangkan umno menjemput Parti Komunis China menghadiri Persidangan Agung Umno dan yang terbaru mengadakan MOU dengan Parti Komunis China.

“Pemimpin umno juga pernah ditangkap menjadi agen komunis di negara ini. Walaupun pemimpin Umno pernah menuduh PAS lebih merbahaya daripada komunis. Namun kerja-kerja untuk berasmara dana dengan komunis tidak pernah dilakukan oleh PAS,” tegasnya.

Tiada ulasan: