Sabtu, 10 September 2011

MAS Sediakan 38 Penerbangan Khas Haji

MSTAR ONLINE

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) akan menyediakan 38 penerbangan sewa khas haji bagi Lembaga Tabung Haji semasa fasa pertama operasi musim haji mulai 29 September sehingga 30 Oktober ini.

Penerbangan pertama, MH 8000 dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang ke Madinah ada 29 September.

Menurut satu kenyataan syarikat penerbangan itu, MAS akan mengangkut kira-kira 14,000 jemaah haji pada setiap fasa penerbangan pergi dan balik haji.

Fasa kedua penerbangan sewa khas haji dijadual bermula pada 12 November hingga 10 Disember.

Menurut kenyataan itu, daripada 38 penerbangan berkenaan, 11 penerbangan adalah dari KLIA, lapan (Pulau Pinang), tujuh (Kuala Terengganu), enam (Johor Baharu) dan masing-masing tiga dari Kota Kinabalu dan Kuching.

MAS mengkhususkan dua pesawat Boeing 747-400 bagi operasi penerbangan musim haji kali ini.

Bagi memastikan jemaah haji menikmati perjalanan yang selesa ke Tanah Suci, MAS menyediakan beberapa pilihan perkhidmatan khusus semasa penerbangan antaranya program audio seperti pilihan lagu nasyid, bacaan ayat-ayat Al-Quran serta siaran video menerusi skrin TV pada setiap tempat duduk penumpang.

Doa Musafir juga akan diperdengarkan dan bacaan niat ihram (miqat) akan didemonstrasikan oleh krew penerbangan dalam Bahasa Melayu.

MAS akan menugaskan petugas berpengalaman bagi pengendalian di lapangan bagi operasi haji di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya, KLIA dan di Lapangan Terbang Jeddah dan Madinah, menurut kenyataan itu.-BERNAMA

Tiada ulasan: