Jumaat, 16 September 2011

Mansuh ISA: Ucap tahniah umpama terima kasih kepada British

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Tidak perlu mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana bercadang memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali.

Ini kerana, beliau berkata ia bukan suatu ‘kurniaan’ daripada Najib sebaliknya hasil perjuangan getir rakyat dari parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO), sejak berdekad-dekad.

“Ia bukanlah kurnia kepada rakyat pada Hari Malaysia sebagaimana kita tidak memberi tahniah kepada British kerana memberi kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Perjuangan menuntut ISA dimansuh sudah wujud berdekad-dekad lama tanpa ada surutnya. Gambar Hiasan

Mengalu-alukan pemansuhan ISA, beliau mengucapkan tahniah kepada pejuang kebebasan dan hak asasi manusia kerana kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) terpaksa akur dengan kebenaran dan keadilan.

“Ribuan pejuang dipenjara, difitnah dan menderita pelbagai kezaliman demi untuk hak dan kebebasan rakyat yang dinodai Umno BN,” kata Ahli Parlimen Gombak itu.

Tanpa kegigihan semangat yang kemudian meresap dalam Pakatan Rakyat dan terkandung dalam Buku Jingga, Azmin berkata, Najib pasti tidak akan mencadangkan pemansuhan ISA dan menamatkan darurat.

Menganggap ia membuka lembaran baru persekitaran politik, Beliau berharap cadangan pemansuhan itu bukan retorik politik atau bersifat kosmetik demi memulihkan imej politik Umno BN.

Justeru, katanya, KEADILAN menuntut supaya semua tahanan tanpa bicara dibebas atau dihadapkan ke mahkamah, menutup kem Tahanan Kamunting dan Simpang Renggam serta menyiasat aduan seksaan terhadap tahanan.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, Pakatan Rakyat dan NGO harus dilibatkan dalam menggubal dua akta baru yang bertujuan memerangi keganasan dan aliran subversif.

“Adalah penting bagi Pakatan Rakyat, NGO dan pentadbiran Najib duduk semeja bersama-sama serta mendapatkan maklum balas rakyat sebelum dibentang di Parlimen, selain menubuhkan Majlis Perundingan Kebangsaan.

“Kita tidak mahu undang-undang yang bakal digubal mirip peruntukan Seksyen 73(1) dan Seksyen 8 Akta ISA yang memberi kuasa kepada menteri untuk membuat penahanan hingga mudah berlaku salah guna kuasa.

“Pastinya pengumuman pemansuhan ISA tidak membawa erti jika dua akta yang bakal digubal itu itu masih membolehkan mengamal tahanan tanpa bicara,” katanya.

Tiada ulasan: