Selasa, 6 September 2011

Lima Dulang Emas Dilarikan Dalam Masa Dua Minit

TVS NEWS


KAJANG : Empat lelaki bersenjatakan pistol dan tukul melarikan lima dulang emas dalam masa hanya dua minit ketika menyamun sebuah kedai emas yang terletak di kawasan pusat perdagangan di Jalan Besar, Kajang di sini semalam.

Dalam kejadian samun kira-kira 2.45 petang itu, tiga daripada empat suspek menerpa masuk ke dalam kedai emas berkenaan dengan bersenjatakan dua pistol dan satu tukul di mana tukul itu digunakan untuk memecahkan cermin ruang pameran.

Ketika kejadian, terdapat seorang pelanggan di dalam premis berkenaan selain seorang pengawal keselamatan tanpa senjata serta lima orang pekerja.

Suspek yang bersenjatakan pistol telah mengacukan senjata berkenaan ke arah mereka yang berada di dalam premis itu ketika mereka bertindak memasukkan barang samun ke dalam sebuah beg sebelum melarikan diri melalui dua buah motosikal yang terletak di luar premis di mana seorang lagi suspek berada.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Azman Ayob ketika ditemui pemberita di tempat kejadian semalam berkata wajah kesemua suspek sukar dikenal pasti kerana mereka memakai topi kelendar ketika melakukan jenayah tersebut bagaimanapun mereka dianggarkan berumur antara 30-an hingga 40-an.

"Pemeriksaan kita di tempat kejadian telah menemui tukul yang digunakan untuk memecahkan cermin ruang pameran dan kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup yang berada di situ bagi membantu siasatan ini,"katanya, lapor Bernama Online.

Azman berkata kesemua individu di dalam premis berkenaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya ia merupakan kali pertama premis berkenaan disamun bagaimanapun jumlah kerugiannya masih dalam siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.

Tiada ulasan: