Khamis, 8 September 2011

Lebih 200 sertai PAS selepas Ops Tawan Besut


BESUT - Kepimpinan Pas Dun Kuala Besut mendakwa sokongan rakyat di Dun itu terhadap Pas semakin meningkat berbanding sebelum ini.

Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Hulu Besut, Salahhudin Jaafar berkata, terdapat momentum sama seperti peringkat kebangsaan dan selepas ini suasana dijangka berubah.

Menurutnya, sokongan golongan muda di Dun ini terhadap Pas amat ketara kerana mereka mendapat banyak informasi daripada media alternatif.

“Isu pembahagian tanah di Hulu Besut menyebabkan ramai marah dan mereka tahu menilai apa yang berlaku di Hulu Besut.

“Langkah kerajaan hari ini yang mengambil balik tanah dengan memberi pampasan kepada penduduk yang memperoleh tanah ketika pemerintahan Pas dahulu mengecewakan mereka,” katanya.

Salahhudin (Gambar - berbaju hijau) yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Besut mendakwa, masalah pemilihan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebelum ini juga menyebabkan ada yang beralih menyokong Pas.

Menurutnya, masalah beberapa individu yang dikatakan berhajat untuk menjadi calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang membuatkan rakyat dapat menilai situasi dalam parti itu.

“Bilangan penduduk Hulu Besut yang menyertai ahli Pas selepas Ops Tawan Besut dilancarkan kini sudah melebihi 200 orang,” katanya - SH

Tiada ulasan: