Isnin, 12 September 2011

Komponen: Pakatan tak pernah bangkit syarat pegang jawatan PM, TPM


Datuk Seri Nizar Jamaluddin (kiri) berbual bersama Azmin Ali di rumah terbuka PAS di Gombak, 11 September 2011. — Foto oleh Jack Ooi


GOMBAKt — Pemimpin PKR dan DAP tidak melihat pendirian PAS bahawa jawatan perdana menteri dan timbalannya akan disandang oleh komuniti Islam sebagai isu “serius” sambil menegaskan, perkara itu masih belum dibincangkan oleh kepimpinan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun menurut mereka, terdapat satu konsensus antara tiga parti itu bahawa jawatan perdana menteri akan diberikan kepada pemimpin Islam parti perikatan itu.

Malah kata mereka, semua pihak telah bersetuju Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon terbaik mengetuai kepimpinan negara sekiranya berjaya menawan Putrajaya.

Semalam Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali memberi akar umbi PAS jaminan bahawa dua jawatan tertinggi kerajaan pusat - perdana menteri dan timbalan perdana menteri — akan diketuai oleh komuniti Islam jika Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan pusat dalam pilihan raya umum ke-13.

“Itu sekadar pendirian PAS bukan Pakatan Rakyat kerana kita masih belum berbincang sampai ke tahap itu.

“Kita perlu lihat apa konsensusnya, adakah ketua pembangkang sekarang merupakan dari parti yang majoriti dalam Pakatan Rakyat, parti yang majoriti adalah DAP tapi pendirian Pakatan Rakyat adalah Anwar adalah ketua pembangkang, lazimnya ketua pembangkang dipilih berdasarkan parti yang majoriti atau kerusi majoriti,” kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail kepada The Malaysian Insider ketika ditemui pada Hari Terbuka PAS sempena Aidilfitri di Taman Melewar di sini.

Jelas beliau, kesimpulannya Anwar dipilih sebagai ketua pembangkang kerana bekas timbalan perdana menteri itu merupakan “bakal perdana menteri.”

“Bila PAS sebut satu kaum yang merupakan majoriti maka semestinya imam itu mesti seorang Islam, Melayu-Islam.

“Saya lihat Datuk Mustafa Ali tegas mengatakan yang pastinya adalah imam, beliau sebut timbalan perdana menteri juga, pandangan PAS adalah Melayu dan saya lihat dalam konteks ini pendekatan yang perlu bukan statik tapi dinamik,” katanya.

Mustafa berkata demikian ketika menjawab kebimbangan majoriti ahli parti Melayu Islam pada konvensyen di sini di sebalik kerjasama PAS-PKR-DAP dalam Pakatan Rakyat yang wujud sejak lebih tiga tahun lalu.

“Saya boleh memberi anda jaminan bahawa perdana menteri semestinya seorang yang beragama Islam dan semoga timbalan perdana menteri juga seorang beragama Islam,” kata beliau.

“Imam (perdana menteri), Insya-Allah, selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP Anthony Loke turut memberi jawapan yang sama bahawa dua jawatan tertinggi negara masih belum dibincangkan.

Bagaimanapun beliau berkata, “tidak menjadi kesalahan” untuk Melayu-Islam memegang kedua-dua jawatan itu.

“Walaupun ia tidak disebut atau dibincangkan tetapi realiti politik adalah perdana menteri itu mesti Islam.

“Pada masa yang sama, tiada apa yang boleh menghalang kita mempunyai lebih daripada seorang timbalan perdana menteri... kita tidak perlu berfikiran sempit,” katanya.

Perlembagaan Persekutuan mengatakan seorang Melayu seharusnya Muslim, ia tidak menyebut apa-apa mengenai latar belakang agama dan etnik dalam soal pemilihan calon perdana menteri dan menyerahkan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Kebimbangan mengenai kemungkinan seorang perdana menteri bukan Muslim muncul ekoran laporan muka depan Utusan Malaysia Mei lalu di bawah tajuk “Kristian agama rasmi?”

Akhbar milik Umno itu mendakwa wujud komplot antara DAP dan beberapa pastor untuk meletakkan seorang Muslim sebagai perdana menteri. DAP telah menafikan dakwaan sedemikian.

Tiada ulasan: