Sabtu, 17 September 2011

‘Kita perlukan kerajaan dengar suara rakyat dan proaktif’


Impian Hari Malaysia saya ialah sebuah bangsa Malaysia yang sejahtera. Ini akan dapat dicapai sekiranya kita memenuhi tiga prasyarat fundamental iaitu mendengar suara rakyat, mengamalkan budaya ilmu dan menjalankan tanggungjawab dengan amanah.

Mendengar suara rakyat adalah elemen utama dalam melaksanakan prinsip demokrasi. Sebagai rakyat, saya mahu agar suara saya didengar. Contohnya, apabila saya membeli keperluan asas untuk keluarga saya seperti makanan, pakaian dan rumah. Saya ingin mendapatkan produk terbaik yang mampu saya perolehi dengan pendapatan saya.

Sekiranya pengeluar meletakkan harga yang terlalu tinggi atau menawarkan produk yang rendah mutunya ataupun lambat membekalkannya, saya akan menghadapi masalah. Apabila perkara ini berlaku, saya inginkan sebuah kerajaan yang dapat menyediakan saluran untuk saya mengadu dan mendapatkan pembelaan atau ganti rugi. Malahan, saya amat inginkan sebuah kerajaan yang bukan sahaja mendengar masalah saya, tetapi kerajaan yang proaktif iaitu yang sejak dari awal lagi mengajak saya berunding tentang jenis, harga dan mutu produk-produk yang saya perlukan.

Sekiranya saya seorang pengeluar atau peniaga yang membekalkan makanan, pakaian dan rumah tersebut, maka, saya inginkan kerajaan yang memfasilitasi perniagaan hingga wujud budaya niaga yang sihat dan segar serta bebas daripada rasuah atau monopoli. Saya juga inginkan pertubuhan perniagaan yang benar-benar menjaga kepentingan saya sebagai ahli, dan bukannya hanya menjaga kepentingan pemimpin pertubuhan semata-mata.

Di samping itu, saya harap dapat meningkatkan kefahaman saya terhadap hak pengguna dan mendapat manfaat besar daripada gerakan pengguna yang kukuh dan utuh.

Apa yang terbaik bagi saya ialah ketiga-tiga pihak iaitu kerajaan, pengeluar-peniaga dan gerakan pengguna bekerjasama dengan akrab. Kerjasama ini seharusnya menyediakan satu saluran tempat suara saya dapat saya sampaikan bagi memastikan harapan dan hak saya terjaga dan terjamin.

Budaya ilmu terdiri daripada tiga prinsip iaitu meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat paling tinggi. Setiap orang sentiasa menuntut ilmu dan setiap keputusan dibuat berasaskan ilmu.

Apabila saya menghantar anak saya belajar di universiti, saya inginkan sebuah universiti yang ada roh dan benar-benar mengamalkan budaya ilmu.

Falsafah, matlamat, dasar dan program universiti adalah untuk mendidik anak saya menjadi seorang insan yang baik, bukannya seorang pekerja yang baik semata-mata. Menjadi pekerja yang baik belum tentu menjadi insan yang baik. Sebaliknya, menjadi insan yang baik adalah juga meliputi pekerja yang baik.

Saya ingin agar pemimpin universiti itu ialah orang yang paling tinggi ilmunya dalam bidangnya. Sekiranya begitu, beliau akan menjamin agar mutu pensyarah dan program yang disediakan untuk anak saya adalah yang terbaik dan terkini. Tetapi, sekiranya beliau dilantik berdasarkan pilih kasih atau faktor bukan ilmu, maka, saya bimbang beliau tidak dapat menyediakan universiti, pensyarah dan program yang terbaik untuk anak saya.

Pemimpin universiti yang benar-benar ilmuwan akan memastikan budaya ilmu diamalkan bermula daripada dirinya sendiri. Beliau menjalankan penyelidikan dan penulisan yang bermutu tinggi, menggalakkan dan mengambil bahagian dalam perdebatan ilmiah dan memotivasi pensyarah dan mahasiswa untuk bersuara dalam semua disiplin ilmu, termasuk politik.

Beliau juga akan mengurus tadbir dengan mendengar pandangan dan pendapat daripada semua pihak, khususnya mahasiswa. Setiap keputusannya akan dibuat berdasarkan maklumat yang benar dan tepat walaupun ia berlawanan dengan kehendak orang atasannya.

Sebagai rakyat, saya berharap semua pihak yang bertanggungjawab terhadap hak dan masa depan saya sekeluarga dan anak cucu saya akan melaksanakannya dengan amanah.

Saya membenci rasuah dan mahu ia diperangi habis-habisan. Saya bekerja siang dan malam untuk mendapatkan rezeki halal. Saya tidak berhasrat menjadi kaya. Saya hanya inginkan kehidupan yang bahagia.

Tetapi, saya dukacita kerana masih terdapat rasuah dalam beberapa keadaan. Di tempat kerja saya, ada orang yang dinaikkan pangkat bukan kerana merit tetapi kerana pandai mengampu ketuanya. Jalan ke rumah saya dibina dengan buruk tetapi diluluskan kerana jurutera yang menandatangani kelulusannya diberikan hadiah oleh syarikat yang membinanya.

Apabila saya membawa perkara-perkara ini kepada pegawai kerajaan yang berkaitan, mereka kurang mengambil perhatian terhadap saya sehingga saya terpaksa meminta bantuan daripada wakil rakyat saya sedangkan ini bukanlah tugas sebenar wakil rakyat tersebut.

Umur saya hampir sama dengan usia negara Malaysia yang tercinta. Saya berharap dan berdoa agar harapan saya ini dapat saya rasai juga akhirnya.

Tiada ulasan: