Khamis, 15 September 2011

Ketua Hakim ikrar utama keadilan tanpa kompromi

MALAYSIA KINI


Ketua Hakim Negara yang baru, Tan Sri Arifin Zakaria berjanji akan menitik-beratkan kualiti penghakiman dan mengutamakan keadilan tanpa sebarang kompromi.

Dalam ucapan sulungnya sebagai Ketua Hakim Negara ke-13 di Putrajaya hari ini, Arifin berkata integriti dan kebebasan badan kehakiman perlu sentiasa dipertahankan, kerana badan itu merupakan benteng terakhir bagi rakyat mendapat keadilan.

"Dalam hubungan ini juga, setiap lapisan masyarakat hendaklah diberi akses yang tidak terhad kepada keadilan tanpa sebarang halangan," katanya.

Beliau mengingatkan warga kerja badan kehakiman bahawa tugas utama mereka ialah melaksanakan keadilan di antara pihak-pihak yang bertelagah dan keputusan perlu dibuat dengan adil dan saksama, tidak kira dalam apa jua keadaan sekalipun.

Arifin yang menggantikan Tun Zaki Tun Azmi yang bersara wajib minggu lepas, berkata adalah menjadi misinya selaku tunggak badan kehakiman yang baru beserta rakan-rakan untuk meneruskan kecemerlangan yang dicapai oleh badan itu.

Untuk tujuan itu, beliau berkata pembaharuan-pembaharuan sedia ada akan diteruskan dan dimantapkan lagi di samping memperkenalkan pendekatan baru bagi meningkatkan sistem penyampaian dan pelaksanaan keadilan negara ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau menggariskan empat langkah baru iaitu menjadikan mediasi sebagai satu komponen teras di dalam sistem kehakiman di samping memantapkan lagi kecekapan hakim dan pegawai-pegawai dalam mengendalikan mediasi.

Langkah kedua, beliau mencadangkan penubuhan badan yang bertanggungjawab melatih hakim dan pegawai kerana pada masa ini latihan hanya dibuat secara ad-hoc dan tidak terancang dan juga pembentukan badan yang bertanggungjawab melantik hakim-hakim di bawah Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dengan kerjasama pejabat ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan.

Yang ketiga, katanya ialah Kaedah-kaedah Mahkamah Yang Digabungkan iaitu kaedah baru yang akan meringkaskan dan mempermudahkan lagi prosedur sivil di mahkamah yang akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata langkah terakhir ialah kenaikan bidang kuasa sivil mahkamah rendah iaitu Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret menerusi pindaan Akta Mahkamah Rendah 1948, yang sedang menunggu kelulusan kerajaan.

Arifin berkata pelantikannya adalah suatu amanah yang berat bagi dirinya di mana kecemerlangan badan kehakiman yang wujud pada hari ini akan menjadi tanda aras kepadanya dan berharap beliau dapat sekurang-kurangnya mengekalkan tahap kecemerlangan yang ada sekarang.

Katanya untuk merealisasikan matlamat itu, beliau memerlukan sokongan jitu dan padu daripada segenap pihak termasuk para hakim dan pegawai kehakiman, Jabatan Peguam Negara, peguam dan agensi-agensi lain yang berkaitan.

Sambil menyifatkan keluarganya adalah amat penting kepadanya, beliau turut merakamkan rasa terhutang budi yang tidak ternilai kepada seluruh keluarganya terutama ibu dan bapanya, isteri dan anak-anaknya di atas sokongan mereka.

Arifin berkata ini adalah kali keenam beliau mengangkat sumpah jawatan sepanjang beliau menjawat jawatan Hakim.

"Ini menunjukkan betapa pentingnya sumpah yang dibuat oleh seseorang Hakim. Ia sentiasa diperbaharui setiap kali dilantik ke jawatan baru. Tetapi sumpah saya kali ini sedikit berbeza dari segi kandungan dan juga cara ia dilakukan,” katanya.

Arifin berkata jika diteliti, Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan, sumpah jawatan Ketua Hakim Negara berbeza sedikit dengan sumpah jawatan Hakim-Hakim yang lain dan keduanya sumpah jawatan Ketua Hakim Negara hendaklah dilafazkan di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

"Apa yang penting bagi saya tekankan di sini ialah saya berjanji dengan sepenuh jiwa raga saya, saya akan mempertahankan sumpah saya itu sepanjang masa, walau dalam apa jua keadaan sekalipun," katanya.

Selain itu beliau juga berjanji akan memberikan yang terbaik dalam menerajui badan itu seperti yang diamanahkan kepadanya.

Beliau juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Zaki kerana telah melaksanakan pembaharuan dalam badan kehakiman sehingga mencapai satu tanda aras yang cemerlang untuk beliau ikuti.

"Saya akan cuba mengikut jejak langkah beliau seberapa terdaya oleh saya. Mudah-mudahan saya tidak akan mengecewakan beliau," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: