Selasa, 6 September 2011

JPA turun padang siasat kes balu tidak terima pencen


KUALA LUMPUR - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan turun padang bagi menyiasat dakwaan seorang balu anggota polis yang pernah berkhidmat di Balai Polis Bukit Kepong bahawa beliau tidak pernah menerima pencen semenjak kematian suaminya pada tahun 1962.

Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan, JPA Datuk Yeow Chin Keong berkata beliau sendiri akan menemui balu tersebut, Sharifah Aminah Syed Ali, 83, di kediamannya di Alor Setar bagi mendapatkan lebih lanjut tentang perkara berkenaan.

"Saya akan berada di Alor Star pada jam 3 petang ini dan akan berjumpa sendiri dengan balu tersebut di rumahnya bagi mendapatkan kedudukan sebenar berhubung perkara itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Yeow berkata kemungkinan wujud salah faham berkenaan undang-undang pencen yang diberikan kepada balu tersebut berhubung pindaan undang-undang pencen yang dilakukan pada tahun 70-an sehingga 2002.

"Sebelum tahun 70-an sekiranya berlaku kematian ke atas penjawat awam ketika dalam perkhidmatan sememangnya tiada pencen yang diberikan kepada balu.

"Namun pada tahun 80-an, kerajaan sudah mula bagi pencen terbitan kepada balu-balu terlibat, namun sekiranya mereka berkahwin lain secara automatik mereka tidak akan mendapat pencen tersebut," katanya.

Yew berkata pada tahun 2002 kerajaan dengan murah hati telah memberikan pencen tersebut kepada semua balu penjawat awam tidak kira sama ada mereka berkahwin lain atau tidak.

"Ada kemungkinan balu tersebut tidak tahu mengenai undang-undang pencen seperti bila masa beliau layak terima dan bila masa tidak layak," katanya.

Pada Isnin, Bernama menyiarkan laporan mengenai seorang warga emas Sharifah Aminah, balu kepada seorang anggota polis Syed Omar Syed Yasin yang mendakwa tidak pernah menerima pencen suaminya sejak kematian suaminya itu kira-kira 50 tahun lepas.

Aminah yang kini semakin uzur dan mengalamai masalah kesihatan berharap supaya dipertimbangkan permohonan untuk mendapatkan imbuhan tersebut kerana sejak kematian suaminya itu dia hanya pernah menerima duit sagu hati sebanyak RM1,800 sahaja.- mStar

Tiada ulasan: