Khamis, 8 September 2011

Janji untuk wanita, hanya tinggal janji

Oleh Aishah


Kerajaan Malaysia pada tahun 1989 telah menggubal Dasar Wanita Negara yang menjanjikan perkongsian yang setara antara lelaki dan wanita serta peluang dan faedah daripada pembangunan.

Selepas penggubalan Dasar Wanita Negara, Malaysia menunjukkan komitmennya kepada isu ini dengan menyertai Persidangan Wanita Sedunia ke empat dan Beijing Platform for Action (BPFA) pada tahun 1995.

Di persidangan itu, Malaysia secara rasminya menjadi Negara Anggota kepada Konvensyen Tentang Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW).

Kedua-dua BPFA dan CEDAW menekankan kepentingan dan hak wanita melibatkan diri dalam sektor awam dan swasta.

CEDAW dan BPFA menyeru kerajaan memastikan wanita melibatkan diri sepenuhnya dalam pembuatan keputusan di peringkat badan kerajaan dan swasta.

Justeru, pada Ogos 2004, kerajaan memperkenalkan dasar memastikan keterlibatan kaum wanita dalam kumpulan pembuat keputusan mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus di dalam sektor awam dan swasta. Ia ekoran keterlibatan wanita dalam kedudukan kepimpinan masih rendah. Dasar ini dinyatakan dalam RMK9 (2006-2010).

Idea berkenaan kuota untuk wanita bagi mempercepatkan mereka ke peringkat pembuatan keputusan telah lama diperdebatkan. Terdapat hujah kuat yang menyokong mahupun membantah sistem kuota ini.

Namun, apa yang ingin dinyatakan ialah kerajaan Malaysia telah pun mengesahkan perlunya minimum 30 peratus penglibatan wanita dalam sektor awam dengan MWFCD melanjutkannya ke arena politik dan sektor swasta.

Permasalahannya sekarang, kesetaraan gender tidak mampu dicapai jika masih ada lagi kelompangan dalam institusi itu sendiri.

Ketaksetaraan ini merupakan produk dari penjajahan, eksploitasi kelas, set minda feudal dan sebagainya. Kedua-dua wanita dan lelaki telah cuba bekerjasama membangunkan dan melaksanakan dasar transformasi masyarakat yang mesra gender.

Perjuangan ini termasuk pelbagai tetapan organisasi seperti pentadbiran awam, parti-parti politik, organisasi swasta dan lain-lain. Tidak ketinggalan juga peranan yang dimainkan kerajaan itu sendiri.

Walau pun kerajaan (mungkin) telah pergi jauh dalam menyediakan pelbagai dokumen polisi untuk masa depan yang lebih baik untuk rakyat.

Namun, keadilan sosial yang dicanangkan itu tidak dapat dilaksanakan jika kerajaan Malaysia mungkir janji atau melarikan diri.

Fokus kerajaan kini beralih kepada sektor swasta, membebankan mereka, melepaskan tangan pada peruntukan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuatan keputusan sektor awam.

Kajian telah dilakukan dan memberitahu kita bahawa tenaga profesional boleh didapati di sektor swasta, tanpa ragu-ragu, malah mungkin melebihi kuota 30 peratus.

Persoalannya, bagaimana dengan nasib sektor awam, arena politik..?

Politik Malaysia tidak boleh dilihat sebatas wanita seperti Rafidah Aziz, Rosmah Mansor, Shahrizat Jalil, yang kebetulan telah pun dimamah usia. Perubahan itu hanya digerakkan oleh orang muda, jadi posisi harus disediakan untuk wanita-wanita muda yang memang dijamin kredibilitinya.

Sungguh mudah menuding jari daripada mengotakan janji. Roketkini.com

Tiada ulasan: