Jumaat, 9 September 2011

Isu tauliah: Permudahkan, jangan menyusahkan

Jika tidak, Jabatan Agama Islam negeri akan dipandang serong dan tidak lagi dihormati, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan Tantawi.



PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Malaysia mahu Jabatan Agama Islam negeri di seluruh negara mengkaji keperluan umat Islam termasuk dalam pemberian tauliah bagi mengajar agama.

Selain itu, kata Ketuanya Nasrudin Hassan Tantawi, soal pengurusan masjid dan surau, kaunseling agama, nikah dan cerai, banyak tertangguh malah ada yang bertahun-tahun kes tergantung tanpa penyelesaian yang berkesan.

“Kes harta pusaka dan pelbagai kes yang melibat peraturan dan syariat Islam. Perkara ini juga perlu diberi perhatian oleh Kerajaan yang memerintah samada di peringkat Kebangsaan atau di peringkat Negeri termasuklah kerajaan Barisan Nasional atau kerajaan Pakatan Rakyat.

“Selesaikan perkara ini sedaya mungkin,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sayap pemuda parti itu mendakwa pihak berkuasa agama sangat sukar meluluskan tauliah kepada para ilmuan Islam dan mendedahkan masih ramai yang belum mendapat tauliah.

Nasrudin berkata, rakyat sangat mengharapkan mekanisme penganugerahan tauliah dapat diperbaiki segera dan kelemahan diatasi agar Jabatan Agama Islam negeri-negeri dilihat sebagai badan yang berkaliber dan berwibawa untuk menangani isu-isu umat Islam.

“Sekaligus menjadi benteng umat Islam dari anasir yang merosakkan nilai agama mereka terutamanya kejahilan. Jika tidak, Jabatan Agama Islam negeri akan dipandang serong dan tidak lagi dihormati.

Prestasi tidak seimbang


“Saya bimbang benar masa depan umat Islam di negara kita, tatkala melihat prestasi pihak berkuasa agama seperti Jabatan Agama Islam negeri atau Majlis Agama Islam negeri yang sangat tidak seimbang berbanding keperluan dan tuntutan ummah masa kini,” katanya.

Beliau turut menyoal, “tidak memadaikah mereka yang telah diiktiraf ilmunya oleh universiti Islam di mana tempat mereka menghabiskan masa bertahun-tahun untuk menimba ilmu?

“Apakah kriteria yang diperlukan oleh pihak berkuasa agama di negara kita sehingga sijil pengiktirafan universiti seperti ijazah pertama, sarjana dan Phd belum memadai untuk mereka dianugerahkan tauliah?,” soal beliau lagi.

Ketua Pemuda PAS itu mendedahkan pengalamannya menyertai peperiksaan untuk pengambilan atau penganugerahan tauliah mengajar di negeri itu beberapa tahun yang lalu. Malangnya, sehingga hari ini beliau tidak mengetahui apakah keputusannya.

“Semasa peperiksaan tersebut, saya telah menyertai peperiksaan bertulis dan juga lisan. Sehingga sekarang saya tidak mengetahui apakah saya lulus atau gagal peperiksaan tersebut.

“Jika lulus kenapa saya belum diberikan sebarang tauliah sedang saya hampir setiap malam terpaksa memenuhi undangan kuliah, forum, diskusi, khutbah dan ceramah agama di masjid dan surau di seluruh negara termasuk negeri Pahang.

“Kalau gagal pula, kenapa tidak diberitahu agar saya boleh memperbaiki dan mendalami ilmu bagi membolehkan saya menduduki peperiksaan berikutnya sehingga saya berjaya,” dakwanya.

Hanya 84 orang di Selangor

Nasrudin berkata, Selangor mempunyai 3,162,579 orang Islam (statistik 2010) iaitu kira-kira 57.9% dari seluruh penduduk Selangor.

Bagaimanapun, katanya hanya 84 orang diberi tauliah berceramah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan lesen sah setakat 31 Disember depan.

“Ertinya seorang ustaz bertauliah di Selangor kena mengajar kira-kira 37,649 orang dan seorang ustaz di Selangor kena menyampaikan ceramah/kuliah sekurang-kurangnya di 20 buah masjid atau surau. Di Selangor terdapat 1,728 masjid atau surau,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mempunyai data mengenai jumlah penceramah sah di Pahang tetapi menyatakan negeri itu terdapat sebuah masjid negeri, 25 buah masjid daerah, 544 masjid kariah dan 1,320 buah surau.

Menurutnya, beliau menerima tiga panggilan telefon sehari untuk mohon tarikh ceramah, kuliah, khutbah, forum, diskusi, wacana dan lain-lain di masjid dan surau.

“Macam mana saya mahu menepis atau menolak jemputan itu sementara masyarakat awam sangat dahagakan ilmu serta bimbingan agama, sedang saya walaupun tidak memiliki ilmu yang banyak, tetapi rasa insaf dan sedar betapa saya berkewajipan untuk mencurahkan sedikit ilmu yang dimiliki kepada masyarakat.

“Menunggu para asatizah [para agamawan] yang bertauliah, entah bila mereka akan mampu dan berkeupayaan menampung keperluan yang mendesak ini,” tambahnya.

Tiada ulasan: