Khamis, 29 September 2011

ISA: Perkasa mahu panel khas ganti mahkamah


PUTRAJAYA – Perkasa mahu Putrajaya menubuhkan satu jawatankuasa berprofil tinggi di bawah dua akta baru, yang akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), untuk membuat keputusan sama ada seseorang yang ditahan itu bersalah atau tidak dengan segera.

Menurut Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, jawatankuasa itu perlu melibatkan Ketua Polis Negara, Peguam Negara, wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan individu-individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang keselamatan.

Tegas beliau, jika mengikut saluran perundangan sekarang seseorang yang ditahan perlu dibawa ke mahkamah dan ia akan mengambil masa yang lama.

“Kalau jawatankuasa ini memutuskan saya bersalah, tidak kisah saya orang politik atau tidak tetap perlu ditahan di Kamunting... kalau ikut mahkamah akan mengambil masa yang lama, bagaimana kalau orang itu disabit dengan bunuh, dia telah ditahan selama enam tahun tapi akhirnya mahkamah putuskan dia tidak bersalah, jadi macam mana?

“Jadi lebih baik tubuhkan jawatankuasa berprofil tinggi ini, orang yang duduk dalam ini adalah ketua polis negara, peguam negara, wakil Suhakam dan mereka yang berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Dua undang-undang baru akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Najib menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas meminta Putrajaya agar membuat kajian dan penyelidikan yang terperinci sebelum memutuskan bentuk undang-undang baru yang akan menggantikan ISA.

“Jangan gopoh kerana ia melibatkan soal keselamatan negara, buat kajian dengan terperinci sebelum buat keputusan... perlu ambil masa, jangan gopoh

“Dan jangan buat undang-undang semata-mata mahu mendapatkan undi,” katanya.

Beliau menambah soal keselamatan harus menjadi keutamaan negara dan ia merupakan agenda Perkasa selain tidak boleh berkompromi semata-mata mahu memenuhi kepentingan politik pihak tertentu.

Sementara itu Hishammuddin berkata undang-undang baru itu tidak akan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman negara.

“Jaminan kita adalah untuk memastikan apa jua tindakan yang kita ambil tidak akan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman, dalam hal ini beberapa aspek mungkin kita bolah buat pindaan dalam akta baru tapi asasnya adalah kekuatan keselamatan.

“Dari segi tempoh tahanan, mungkin tidak perlu begitu lama tetapi ia masih difikirkan dan akan diputuskan nanti,” katanya.