Selasa, 6 September 2011

Ibu empat anak parah terminum racun semut disangka sirap pandan

THE MALAYSIAN INSIDER

KOTA BARU – Seorang wanita dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II selepas terminum racun semut yang disangkanya sirap yang dibancuh suaminya di rumah mereka di Kampung Rambutan Rendang di sini hari ini.

Norhafiza Badli Afendi, 27, mengalami kekejangan dan mulut berbuih selepas terminum racun itu pukul 11 pagi tadi.

Suaminya, Mohd Din Yusof, 27, berkata sebelum itu dia membancuh racun semut itu yang berwarna hijau dan memasukkannya dalam gelas dan diletakkan di atas meja makan.

“Saya keluar bagi mengambil pam penyembur racun dan tidak sangka isteri saya yang menyangka ia sejenis sirap pandan telah meminumnya ketika saya keluar sebentar itu.

“Isteri saya sukar bercakap dan terketar-ketar selepas meminumnya. Keadaan dia sekarang sukar untuk bercakap dan darah mengalir dari mulut dia,” kata Mohd Din dipetik Bernama Online.

Pasangan itu mempunyai empat anak, dua daripadanya sudah bersekolah.

Mohd Din berkata bahawa sebelum ini racun itu tidak dibancuh menggunakan air dan dia hanya menabur serbuk racun yang dibeli di pasar malam itu di seluruh kawasan rumah.

“Tapi kali ini saya rasa nak guna air dan menyembur pula sebab sebelum ini nampak tidak berkesan,” katanya.

Tiada ulasan: