Ahad, 11 September 2011

Hanya 1.7 juta pembayar cukai aktif - LHDN



BANGI - Hanya 1.7 juta daripada kira-kira lima juta pembayar cukai di Malaysia merupakan pembayar cukai aktif dalam semua kategori, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Dr Mohd Shukor Mahfar.

Beliau berkata selain yang ingkar membayar cukai, selebihnya merupakan mereka yang tidak dikenakan cukai berikutan pelepasan cukai oleh kerajaan.

"Selebihnya itu, mungkin hasil daripada kerajaan menambah pelepasan cukai, mereka sudah dianggap sebagai tidak dikenakan cukai.

"Tak aktif juga berikutan syarikat menjadi domain atau pada masa tersebut berlaku kerugian, atau pendapatannya kurang hasil pelepasan cukai dan oleh itu mereka tidak membayar cukai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem Cerdik Cukai di Akademi Percukaian Percukaian Malaysia, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud.

Mengenai sasaran kutipan cukai sebanyak RM97 bilion tahun ini, Mohd Shukor berkata LHDN berada pada landasan yang betul untuk mencapainya berdasarkan strategi dan perancangan yang diambil, selain wujud kesedaran dalam kalangan pembayar cukai untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Beliau berkata menerusi kempen kesedaran pentingnya membayar cukai yang dijalankan, bilangan pembayar cukai baharu meningkat 10 peratus.

"Mereka adalah pendatang baharu. Sebab itu juga kita kaitkan cukai dengan pembangunan, seperti slogan nama LHDN Bersama Membangunkan Negara," katanya.

Mengulas mengenai Kem Cerdik Cukai, beliau berkata ia merupakan projek perintis yang membabitkan kira-kira 200 pelajar Tingkatan Enam di sekitar Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan.

Katanya matlamat kem tersebut ialah untuk membangunkan modal insan yang celik cukai, khususnya pelajar yang akan menempuh alam pekerjaan dan merupakan bakal prospek pembayar cukai pada masa hadapan.

- Bernama

Tiada ulasan: