Sabtu, 24 September 2011

Hantu Bonceng: Pemuda PAS akan bertemu Ahmad Idham

Aziz Muda

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan pertemuan dengan pengarah filem Hantu Bonceng, Ahmad Idham Ahmad Nadzri pada 26 September ini bagi menjelaskan teguran mereka terhadap beliau berhubung filem arahannya itu.

Pertemuan tersebut dirancang diadakan pada waktu siang, tetapi sekiranya Ahmad Idham tidak mempunyai kelapangan masa untuk mengadakan pertemuan pada siang hari itu, beliau diharap mengemukakan cadangan mengadakan pertemuan pada waktu malam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan menjelaskan, malah sekiranya Ahmad Idham tidak mempunyai kelapangan masa untuk mengadakan pertemuan pada hari itu, beliau boleh mengemukakan cadangan untuk mengadakan pertemuan pada tarikh lain kepada pihaknya.

Menurut beliau, di pihak Dewan Pemuda PAS, pertemuan tersebut akan diuruskan oleh Sekretariat Dewan Pemuda PAS Malaysia yang diwakili oleh beliau sendiri dengan ditemani tiga orang rakannya dari kalangan Ahli Jawatankuasa Dewan Harian Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Katanya, surat atau maklumat untuk mengadakan pertemuan itu akan dihantar oleh Sekretariat Dewan Pemuda PAS Malaysia kepada Ahmad Idham dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklum balas segera daripada beliau.

"Pertemuan itu akan diadakan di pejabat Ahmad Idham sendiri. Tujuan pertemuan itu diadakan adalah untuk menjelaskan kepada beliau kenapa Dewan Pemuda PAS Malaysia membuat teguran berhubung filem arahan dan terbitan syarikat beliau itu.

"Kami berharap agar hasrat kami untuk mengadakan pertemuan itu akan disambut dengan dada terbuka oleh Ahmad Idham," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Dewan Pemuda PAS Malaysia juga, menurut beliau, berharap agar Ahmad Idham tidak menyalah anggap dengan teguran pihaknya dan bersedia menerima pandangan yang berbeza demi kepentingan Islam dan umat Islam keseluruhannya.

Katanya, Ahmad Idham tidak perlu melenting apabila ditegur oleh pihak Dewan Pemuda PAS mengenai filemnya itu kerana sebagai artis Ahmad Idham sendiri sememangnya telah masak dengan pelbagai kritikan sebelum ini.

Teguran Pemuda PAS berhubung filem Hantu Bonceng itu, jelasnya, sememangnya bertujuan baik untuk kepentingan Islam dan umat Islam.

"Teguran yang kami buat itu bukanlah bertujuan untuk membunuh kerjaya Ahmad Idham dan bukan juga untuk membunuh industri seni di tanah air," katanya. (Gambar bawah)

Filem Hantu Bonceng arahan Ahmad Idham ditayangkan bermula 31 Ogos sehingga 4 September 2011 lalu secara serentak di 80 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Hantu Bonceng yang diterbitkan oleh syarikat kepunyaan Ahmad Idham sendiri, Excellent Pictures Sdn Bhd dibintangi Mohd Razizan Abd Razak atau lebih dikenali sebagai Zizan Raja Lawak, Juliana Evans, Jue Aziz, Dottie, Tai, Zahid Baharudin dan beberapa orang pelakon lain.

Filem ke-23 arahan Ahmad Idham itu merupakan filem komedi dan mengisahkan Amran yang gemar berlumba haram yang tiba-tiba terlibat dalam satu kemalangan yang meragut nyawa gadis yang memboncengnya.

Sejak itu, gadis yang tidak tenteram itu menghantui Amran dan Amran meminta kekasihnya, Halimaton dan rakannya Kunyit menyempurnakan mayat gadis tersebut.

Namun filem tersebut dikecam hebat oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia kerana dalam satu adegannya, Zizan jelas menghina Rasulullah saw dengan menyebut “Ashaduanna Muhammadar ... syaitan” yang membawa maksud “Aku naik saksi bahawa Muhammad itu ... syaitan”.

Selain itu turut ditambah dengan adegan mempersendakan azan, memakai baju yang mempunyai tanda salib ke masjid dan beberapa isu tahyul seperti bogel depan hantu.

Dewan Pemuda PAS Malaysia ketika membuat teguran terhadap filem itu sejak 19 September lalu turut kesal yang teramat sangat dengan kelemahan ketara pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), sehingga membenarkan filem-filem berbaur penghinaan kepada Islam diterbitkan.

20 September lalu, Dewan Pemuda PAS menerusi Nasrudin melanjutkan lagi tegurannya kepada pihak penerbit, pengarah dan pelakon filem itu agar menyedari kesalahan tersebut dan mendesak agar penayangan filem itu dihentikan dan jika mahu ditayangkan juga, sekurang-kurang babak mengucap syahadah secara salah itu mesti dipotong untuk tayangan berikutnya.

Bagaimanapun teguran beliau tidak dipedulikan oleh Ahmad Idham, malah beliau dilaporkan menjawabnya dengan nada dan ayat-ayat yang tidak sewajarnya.

Tindakan beliau memaksa Dewan Pemuda PAS Malaysia membuat keputusan untuk mengadakan pertemuan khas dengan pengarah tersebut bagi menjelaskan maksud sebenar teguran itu demi kepentingan Islam, para penonton filem itu dan orang ramai di segenap peringkat.

Semalam, Harakahdaily telah melaporkan, Zizan Raja Lawak mulai dihujani penghormatan para peminatnya, apabila bersikap terbuka memohon maaf kepada orang ramai berhubung dialog kontroversi yang dituturkannya di dalam filem itu.

Dalam Twitternya kelmarin, Zizan telah tampil meminta maaf atas kesilapannya menghina Rasulullah dalam filem tersebut dengan mengatakan: “Saya faham, apa yang salah… salah jugak. Tapi pasal hina Islam memang jauh dari otak fikiran saya la.. takde lagsung terniat. Ini adalah Agama dan Rasul saya.. Maaf sekiranya saya silap."

Tiada ulasan: