Khamis, 8 September 2011

Felda pinjam KWSP RM6 bilion, Kerajaan masih membisu

KEADILAN DAILY

PAHANG: Kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga kini masih lagi tidak menjelaskan kedudukan pinjaman RM6 bilion oleh Pihak lembaga pengurusan Kumpulan Wang Simpanan pekerja (KWSP) kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.

“Kerajaan perlu menjelaskan bagaimana keputusan mereka untuk mengkategori pelaburan portfolio asing dan dalam negeri. Ia juga perlu menyatakan berapa bilion wang yang digunakan (KWSP) untuk luar negara dan berapa dalam negara,”

“KWSP tidak pernah memberi pengesahan terhadap pinjaman Felda, tak dapat pengakuan yang sah. Sebaliknya kita hanya mengetahui (pinjaman) apabila Felda mengumumkan kedudukan kewangan,” kata Azan.

Menurut Azan, bukan saja warga Felda, malah seluruh rakyat Malaysia berhak mengetahui kerana wang KWSP merupakan hak milik rakyat yang dicarumkan mereka untuk jaminan masa tua.

“Saya pernah membuat semakan audit pada tahun 2006 dan 2007, dana rizab Felda mencecah lebih RM8 bilion tetapi kenapa sampai sekarang (2011) perlu pinjaman (RM6 bilion),” katanya ketika dihubungi Keadilandaily.

“Pinjaman 6 bilion sebenarnya membayangkan Felda tidak kukuh jika dilihat dalam logik akal dan ilmu dalam perbankan, apa perlunya Felda meminjam atau semata-mata hanya memberi keuntungan kepada KWSP?” soalnya.

Kata Azan, beliau akan terus menuntut penjelasan tentang isu tersebut dalam sidang Parlimen yang bakal berlangsung dalam 2 minggu ini.

“Semasa sesi parlimen saya bertegas menuntut penjelasan dan jika tidak, kita akan membentuk satu referendom rakyat kerana wang (KWSP) satu-satunya yang dimiliki majoriti rakyat untuk tabungan hari tua,” katanya.

Sementara itu Persatuan Anak peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dijangka menghantar memorandum kepada Suruhan Jaya Pencegah Rasuah (SPRM) lewat bulan ini agar satu siasatan dilakukan terhadap wang pinjaman RM6 bilion tersebut.

Presidennya Mazlan Aliman mengecam tindakan kerajaan yang masih lagi berdiam diri dan membuatkan warga Felda tertanya-tanya.

“Ketelusan diragukan kerana kita (warga Felda) tidak tahu untuk tujuan apa kerana tambahan 6 bilion itu jumlah besar. Segala pelaburan dan pinjaman dibuat mesti diketahui rakyat tapi Felda langsung tak tahu.

“Ianya mesti ada cagaran kerana takkan KWSP dengan mudah nak bagi pinjaman dengan jumlah yang besar dan itu sesuatu yang menakutkan Felda kerana risiko ditanggung warga Felda sendiri,” katanya.

Mazlan sebelum ini pernah menyifatkan pinjaman tersebut merupakan satu salahgunakuasa dan pengkhianatan bukan sahaja kepada peneroka Felda, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia yang menjadi pencarum KWSP.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan kerajaan sebelum ini bahawa Felda memiliki status kewangan yang kukuh.

Tiada ulasan: