Khamis, 8 September 2011

Enakmen pentadbiran agama sekat Islam

Ahli Parlimen Shah Alam menyifatkan penggunaan Enakmen itu terhadap dirinya sebagai usaha mengurangkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat dalam PRU akan datang.



PETALING JAYA: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menyifatkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyoal siasatnya kerana menyampaikan tazkirah Ramadhan tanpa tauliah di Taman Seri Sementa, Kapar, Klang 16 Ogos lalu sebagai membendung kesedaran dan menyekat kebangkitan Islam.

“Enakmen yang digubal zaman Barisan Nasional untuk menyekat kebangkitan dan kesedaran Islam terus dimanfaatkan Jais dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) walaupun Pakatan Rakyat memerintah.

“Inilah bukti Umno sebenarnya anti Islam,” kata Khalid yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Shah Alam dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor dalam laman mikro blog Twitternya malam tadi.

Tindakan tersebut diambil terhadapnya oleh Jais petang semalam selaras dengan Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.

Kes beliau akan didengar di Mahkamah Syariah Klang dalam bulan November. Tauliah Khalid pernah ditarik oleh Jais sebelum ini dua tahun lepas.

Khalid turut mengkritik pendekatan Islam melalui Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.

“Di bawah Enakmen ini kita tidak boleh ‘bercakap’ pasal Islam kecuali ada tauliah. Pendekatan menyekat Islam sebegini merupakan punca keruntuhan akhlak dan murtad,” ujar Khalid.

Khalid menafsirkan tindakan Jais sebagai usaha untuk menyekat sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) ke 13.

“Pakatan Rakyat mempunyai pendekatan lebih terbuka dan lebih mesra Islam. Penggunaan Enakmen oleh Jais menjelang PRU bertujuan menyekat sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat,” tambah beliau.

Khalid turut membidas Umno yang didakwa menggunakan Enakmen tersebut untuk mengekang pemimpin PAS kerana para pemimpin Umno bukan pakar dalam hukum hakam dan syariat Islam.

“Oleh kerana ramai pemimpin Umno tidak mampu brcakap mengenai Islam maka melalui Enakmen ini pemimpin PAS juga ingin disekat. Umno mahu rakyat jahil (agama),” kata Khalid.

Tauliah Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Othman turut ditarik balik semasa bulan Ramadhan dan permohonan beliau untuk mendapat kembali tauliah turut ditolak.

Tiada ulasan: