Isnin, 26 September 2011

Dua pemimpin bawa isu Kita pimpinan Zaid ke RoS


PETALING JAYA – Dua pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) yang dikenakan tindakan disiplin memutuskan untuk mengemukakan aduan rasmi kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) esok.

Kedua-dua pemimpin itu, ahli jawatankuasa eksekutif Muhammad Firdaus Christopher yang digantung keahlian manakala Abd Latif A Tambi yang dibuang daripada jawatannya sebagai setiausaha pusat parti menegaskan tindakan yang dikenakan ke atas mereka tidak mengikut perlembagaan parti.

“Pemecatan saya tidak mengikut prosedur perlembagaan parti, kami telah berbincang dengan RoS minggu lalu dan kami akan membuat aduan bertulis esok di Putrajaya.

“Saya ingin beritahu tiada sesiapa yang boleh bertindak mengatasi undang-undang, malah saya juga tidak pernah mengabaikan tanggungjawab saya sepanjang berkhidmat kepada parti,” kata Abdul Latif pada sidang media di sini.

Jelas Abdul Latif, beliau telah dipecat sebagai setiausaha pusat parti pada 14 September lalu setelah menerima e-mel daripada Datuk Zaid Ibrahim sebelum menerima surat penggantungan sebagai ahli daripada jawatankuasa disiplin pada 23 September.

“Pada 14 September saya telah menerima emel daripada Datuk Zaid Ibrahim yang menggugurkan saya sebagai sebagai setiausaha pusat parti dengan serta-merta dan pada 23 September pula saya telah menerima surat daripada jawatankuasa disiplin parti yang menggantung keahlian saya selama enam bukan dengan serta-merta.

“Saya dipecat sebagai setiausaha dan saya digantung sebagai ahli, malah dalam surat daripada jawatankuasa disiplin mengatakan saya tidak amanah dan membocorkan maklumat parti... saya menyangkal segala tuduhan ini, ia adalah satu fitnah dan tuduhan yang tidak berasas,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa telah merancang untuk menjatuhkan Zaid selaku ketua parti.

“Sebagai setiausaha pusat adalah kerja saya untuk menemui pemimpin pusat dan negeri khususnya bincangkan soal parti, jauh sekali untuk jatuhkan ketua parti.

“Ketua parti boleh melantik untuk beberapa jawatan dalam parti tetapi beliau tidak boleh memecat, dalam perlembagaan parti tidak berkata demikian... dalam pemecatan saya prosedur perlembagaan parti diketepikan, saya tidak diberi peluang membela diri,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan kembali kepada Kita, Abdul Latif berkata “saya reformis, saya akan cuba selamatkan parti, parti ini ditubuhkan untuk rakyat.”

Beliau juga menyerahkan kepada RoS untuk menyiasat pemecatannya.

Sementara itu Muhammad Firdaus berkata beliau hanya mengetahui tentang penggantungannya melalui media dan menerima surat penggantungan pada 21 September.

“Saya tahu tentang penggantungan ini pada 14 September, itu pun melalui media dan saya tidak diberitahu sehingga menerima surat rasmi pada 21 September.

“Kami sekarang sedang berbincang untuk mengambil tindakan, saya nak beritahu saya telah dilantik oleh Zaid Ibrahim dan bukan oleh parti Kita dan saya minta sesiapa yang tidak tahu perkara sebenar jangan keluarkan sebarang kenyataan,” katanya.

Beliau juga menyokong pendirian Abdul Latif untuk terus bersama parti Kita sekiranya khidmat mereka masih diperlukan.

Tiada ulasan: