Selasa, 6 September 2011

Debat: PAS pusat sokong Mat Sabu hanya mahu jumpa No 2 Umno


KUALA LUMPUR — Kepimpinan pusat PAS mempertahankan pendirian Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang memutuskan untuk berdebat dengan pemimpin yang setaraf dengan kedudukanya dari Umno, bukan dengan Ketua Pemudanya Khairy Jamaluddin.

“Ya, kami sokong pendirian Mat Sabu (Mohamad). PAS mencadangkan... kita lihat peringkat parti, jadi timbalan presiden berdebat dengan timbalan presiden, yang sama jawatan dalam parti,” kata Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi The Malaysian Insider mengenai isu debat dan wacana yang muncul di sebalik kenyataan kontroversi mengenai tragedi Bukit Kepong.

“Saya melihat kalau timbalan presiden bertemu dengan timbalan presiden baru kuat,” katanya lagi.

Tuan Ibrahim (gambar) berkata kemungkinan itu sebabnya Mohamad juga memutuskan untuk memberitahu bahawa biar Pemuda PAS yang mengambil tindakan susulan apabila Khairy dilaporkan menerima tawaran berdebat anjuran kerajaan negeri Kelantan.

Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider semalam, Muhamad berkata beliau hanya bersedia berdebat dengan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kenyataan kontroversi berkaitan dengan tragedi Bukit Kepong dan gesaan agar fakta sejarah diteliti semula.

Ekoran perkembangan itu, Khairy pula mengecam Mohamad sebagai seorang pemimpin politik “bacul dan tiada bermaruah” kerana tidak sanggup bertemu dengannya.

Menerusi media sosial Twitter berterusan hari ini dengan Khairy menegaskan, “yang pasti, saya sedar hari ini PAS pilih Timbalan Presiden yang bacul dan tiada maruah. Takut sebab salah. Tewas sebelum tempur.”

Dalam satu lagi mesej Twitter, Khairy yang pernah muncul di pentas dengan Naib Presiden PAS Datuk Paduka Husam Musa, yang juga Exco Kerajaan Kelantan beberapa tahun lalu berkata, “sekurang-kurangnya Husam ‘anak jantan’. Ini Mat Sabu... dengan Ketua Pemuda Umno sudah lari. Adakah ini timbalan presiden yang anda pilih? Malu.”

Mohamad yang lebih dikenali “Mat Sabu” berkata “Timbalan Presiden Umno, OK” - apabila ditanya sama ada bersedia berdebat dengan Muhyiddin yang juga anak jati Johor. Muhyiddin juga timbalan perdana menteri dan bekas menteri besar Johor.

Ditanya di mana lokasi debat itu boleh diadakan, Mohamad hanya menjawab: “Terserah.”

Khairy seterusnya berkata biar sejarah akan menunjukkan beliau telah menerima jemputan untuk mengupas isu semasa ini, tetapi ditolak oleh Mohamad.

“Jadi, biarlah rekod sejarah jelas. Saya setuju dengan jemputan kerajaan PAS Kelantan lawan Mat Sabu. Tapi dia takut dan lari. Jangan putar sejarah ini,” katanya lagi.

Semalam, Dewan Pemuda PAS pusat juga melahirkan hasrat mahu berdebat dengan Pemuda Umno berhubung kenyataan kontroversi Mohamad Sabu, yang menyentuh tragedi Bukit Kepong selain mahu sejarah kemerdekaan negara ditulis semula.

Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan berkata, pihaknya bersedia bila-bila masa untuk berdebat demi mencari kebenaran sebenar kemerdekaan negara.

“Dewan Pemuda PAS Malaysia bersedia pada bila-bila masa untuk menyertai debat ilmiah dengan Pemuda Umno demi sebuah kebenaran dan masa depan yang diasaskan oleh pembacaan sejarah yang betul dan benar.

“Debat ini bukan bertujuan untuk mencetus persengketaan walau melibatkan Pemuda PAS dan Pemuda Umno, tetapi bermaksud membedah sejarah, mencari ketulenan peristiwa yang pernah berlaku dalam sejarah kemerdekaan negara tercinta,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan kelmarin, Tuan Ibrahim berkata pihaknya bersedia untuk berbahas dengan Umno berhubung kontroversi tragedi Bukit Kepong dan fakta sejarah negara — yang kini menjadi senjata terbaru parti Melayu itu untuk menyerang kepimpinan Mohamad.

Tuan Ibrahim berkata, ramai pejuang kemerdekaan yang tidak diiktiraf dalam sejarah termasuk Muhammad Indera atau Mat Indera, salah seorang yang terlibat dalam tragedi Bukit Kepong.

Mengulas mengenai perkembangan sejak dua hari lalu ini, Tuan Ibrahim berkata, apa yang diusahakan oleh kerajaan negeri Kelantan adalah perkara berbeza daripada apa yang diambil oleh PAS.

“Usaha kami di peringkat PAS lebih bersifat wacana. Kami memanjangkan kepada Umno... kepada Ketua Penerangan Umno, untuk mengadakan wacana atau perbincangan mengenai fakta sejarah,” katanya.

Tambah beliau, surat pelawaan kemungkinan dikeluarkan minggu depan selepas mengadakan satu perbincangan di peringkat PAS pusat hari ini.

“Jawatankuasa khas mengadakan mesyuarat hari ini. Salah satu perkara yang akan dibincangkan ialah perkara ini. Jadi, kami akan memutuskan perkara ini... kemungkinan surat akan dikeluarkan minggu depan,” katanya.

1 ulasan:

tungkaran hati.blogspot berkata...

Kami teringin sangat tengok PAS macam dulu, ada matlamat perjuangan Islam! tapi la PAS dah jadi caca-marba...buang perjuangan Islam ambik pulak negara Kebajikan dah tu promote perjuangan Komunis...katanya(Kal Marxt Sabu) sealiran dengan perjuangan Islam!...apa ni? betui la kata orang DAP ganti PAS!
Ramai yang mengharapkan PAS ganti UMNO....tapi kini kecewa! Laa PAS tak berani sebut pasai Hudud atau pun Perjanjian Madinah masa ceramah atau tazkirah macam dulu-dulu....takut kat DAP!
PAS dah ada kuasa di Kelantan, Kedah, Selangor dan PPinang...kenapa tak cuba ubah perlembagaan negeri ikut perlembagaan Islam yang dilaung-laungkan dulu? Kalau kat ceramah bukan main lagi kata kita akan gantikan perlembagaan kafir(Lord Reid kata Ali Setan) dengan perlembagaan Islam!
Inilah masanya untuk PAS membuktikan yang ianya layak menggantikan UMNO yang dikatakan Sekular, Rasuah, Perkauman dan sebagainya.
Buktikan PAS itu lebih baik dari UMNO.