Selasa, 6 September 2011

DAP dakwa pengundi pos Rasah guna IC pasangan tentera



KUALA LUMPUR— DAP mendakwa sekurang-kurangnya 21 pengundi pos didaftarkan di bahagian Parlimen Rasah dengan kad pengenalan milik pasangan mereka yang merupakan anggota tentera.

Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke berkata, seramai 19 isteri dan dua suami yang didaftarkan di kem tentera dalam kawasannya mempunyai kad pengenalan yang mempunyai tarikh lahir pasangan masing-masing dan berakhir dengan digit yang memberi maklumat salah mengenai jantina.

“Kami tidak tahu sama ada pasangan ini benar-benar wujud,” kata Loke yang juga Ketua Pemuda DAP.

Loke (gambar) berkata, beliau mengesyaki nombor kad pengenalan terbabit adalah milik anggota tentera, yang mereka telah pun mendaftar di kem tentera menggunakan kad pengenalan tentera, sekali gus membolehkan seseorang mengundi dua kali.

“Nombor-nombor kad pengenalan ini bukan milik pasangan kakitangan tentera. Jadi, nombor kad pengenalan pasangan sendiri masih boleh didaftarkan di tempat lain dan seseorang boleh mengundi dua kali. Tidak kira siapa. Isunya ialah pengundi berganda boleh wujud,” katanya pada sidang media hari ini.

Kata beliau, keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tahun lalu bahawa pasangan anggota tentera juga boleh mengundi sebagai pengundi pos bermakna kesemua bahagian terbabit boleh menyaksikan peningkatan pengundi pos.

“Ini tidak hanya wujud di bahagian saya. Kami ada bukti di Rasah, tetapi juga tahu bahawa ia berlaku di Rembau, kawasan (Ketua Pemuda Umno) Khairy (Jamaluddin), yang kami akan teliti selepas ini,” katanya.

Kata Loke, pada suku kedua tahun ini sahaja seramai 269 pasangan telah ditambah di bahagiannya, yang mempunyai 2,000 pengundi pos kalangan tentera ketika pilihan raya umum 2008.

Loke berkata pihaknya mengesan satu kes di mana Yuzina Nodin berkahwin dengan seorang lagi wanita bernama Yuniza, yang kedua-duanya mempunyai tarikh lahir yang sama.

“Saya tidak pasti sama ada tentera Malaysia dibenar kahwin jantina yang sama,” katanya lagi.

Daripada kes-kes yang didedahkan hari ini, hanya dua tiada identiti tarikh kahir tetapi dalam kes-kes itu bulan dan tarikh ditukar, misalnya 2 Jun kepada 6 Februari sedangkan tahun lahir kekal sama.

Kata Loke, undi pos kekal sebagai amalan tidak boleh dipersoalkan memandangkan ejen-ejen pengundi tidak boleh masuk kem tentera - tempat pengundian.

Salah satu tuntutan Bersih 2.0 bulan lalu ialah menghapuskan pengundian pos.

Tiada ulasan: