Khamis, 8 September 2011

Dana khas parlimen BN jenayah demokrasi - Bersih 2.0



KUALA LUMPUR - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil 2.0 (BERSIH 2.0) dalam satu kenyataan hari ini mempertikaikan tindakan Kerajaan Pusat memberikan dana khas kepada Ahli Parimen Barisan Nasional (BN) dan menyifatkannya sebagai jenayah terhadap demokrasi.

Pendedahan tersebut dibuat oleh akhbar Sin Chew Daily baru-baru ini bahawa "kawasan putih" bagi BN akan menerima sehingga RM 2.5 juta, "kawasan kelabu " RM1 -2 juta manakala "kawasan hitam" tidak akan mendapat apa-apa.

BERSIH 2.0 menekankan bahawa semua rakyat Malaysia, tanpa mengira fahaman politik atau latar belakang sosio-budaya, harus mempunyai akses yang adil kepada dana Parlimen.

Menurut BERSIH 2.0, menggunakan dana Parlimen sebagai alat pilihan raya untuk mendorong sokongan adalah perbuatan yang memalukan dan menyalahgunakan dana awam, ia merupakan penghinaan kepada sambutan Merdeka. Sebagai pengundi, mereka tidak perlu dipaksa untuk mengundi bagi pihak tertentu untuk menerima dana tersebut.

BERSIH 2.0 turut menyeru Kerajaan Pusat dan semua kerajaan negeri dari kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), untuk menghormati demokrasi dan menghentikan amalan memberikan dana pembangunan kepada wakil-wakil parti mereka. BERSIH menyifatkan ia adalah amalan diskriminasi yang tinggi dengan mentaliti feudal dan 'kleptocratic'.

BERSIH 2.0 menegaskan keperluan undang-undang untuk melarang dan dianggap jenayah semua salah laku yang mengaburkan sempadan di antara parti dan kerajaan atau penyalahgunaan sumber-sumber negeri untuk tujuan kepartian.

Tiada ulasan: