Isnin, 12 September 2011

Bukit Kepong: Umno nafi serang Mat Sabu kerana mahu tutup penipuan PRU

THE MALAYSIAN INSIDER



BAGAN DATOH — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini menolak dakwaan PAS kononnya Barisan Nasional (BN) sengaja memperbesar-besarkan isu Bukit Kepong untuk menutup “segala penipuan pilihan raya yang telah dirancang.”

Dakwaan itu dibuat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan dilaporkan dalam sebuah portal berita semalam.

Menurut Hadi tindakan BN itu bertujuan memastikan kemenangannya dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

“Adalah tidak adil menuduh dan mempersalahkan BN kerana ia (kontroversi Bukit Kepong) ditimbulkan oleh pemimpin Pas sendiri,” kata Hishammuddin (gambar) dipetik Bernama Online.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mencetuskan kontroversi itu bila beliau menyifatkan Mat Indera dan anggota komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong sebagai wira negara.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, rakyat boleh menilai tindakan pembangkang yang gemar menyerang pelbagai institusi negara semata-mata untuk gimik politik mereka.

Berhubung tindakan yang boleh diambil terhadap Mohamad Sabu atau Mat Sabu, Hishamuddin berkata Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak sesuai dikenakan kepada ahli politik selagi ia tidak mengancam keselamatan negara.

“Bila politik digunakan untuk memecah-belahkan perpaduan dan keselamatan negara, mereka merupakan pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Hishammuddin menegaskan sebarang tindakan akan ditentukan oleh Peguam Negara.

Sementara itu, anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyeru seluruh lapisan masyarakat terutamanya generasi muda mengambil iktibar terhadap sejarah kekejaman komunis yang menguasai Tanah Melayu dalam tempoh 14 hari selepas Perang Dunia Kedua.

Ahmad Shabery berkata, generasi muda hari ini malangnya tidak diingatkan dengan kekejaman pemerintahan komunis, iaitu Bintang Tiga.

“Bintang Tiga telah memerintah dengan kejam dalam tempoh 14 hari dan pada ketika itu, ada persediaan di kalangan Raja-Raja Melayu untuk menerima kembali kehadiran British selepas Jepun meninggalkan Tanah Melayu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Umno Bahagian Parit hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad Shabery yang juga Menteri Belia dan Sukan turut melancarkan Jentera Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, Parlimen Parit dengan mengedarkan bendera Barisan Nasional (BN) sebagai gimik kepada parti komponen BN.

Tiada ulasan: