Ahad, 18 September 2011

BN rangka manifesto khusus tawan S'gor

MALAYSIA KINI


Timbalan pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar hari ini berkata BN perlu melihat semula keperluan sebenar rakyat Selangor bagi merangka satu manifesto khusus untuk negeri ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

"Pertama kita lihat balik apa yang rakyat negeri Selangor nak sebab negeri Selangor negeri yang maju, keperluan rakyat bandar dan luar bandar adalah berbeza," katanya kepada pemberita selepas berakhirnya konvensyen BN Selangor di Shah Alam hari ini.

Konvensyen tertutup sehari itu, yang dihadiri kira-kira 3,000 perwakilan dan pemerhati BN serta parti-parti dan badan-badan bukan kerajaan pro-BN, dirasmikan dan ditutup oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi BN Selangor.

Noh yang juga menteri pertanian dan industri asas tani berkata oleh itu, manifesto untuk BN Selangor tidak boleh dibuat secara 'pukul rata' kerana keperluan rakyat atau para pengundi di bandar, separuh bandar dan luar bandar adalah berbeza.

"Kita ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Najib sebagai presiden BN dan pengerusi BN Selangor yang telah besetuju untuk memberi satu rangka manifesto khas untuk negeri Selangor untuk PRU 13," katanya.

Beliau berkata perwakilan dan 891 ketua pusat mengundi di Selangor juga bersemangat setelah menerima suntikan semangat menerusi ucapan Najib pada konvensyen itu.

"Tahun lepas, setelah kita mengadakan Konvensyen BN, kita menghadapi pilihan raya kecil di Hulu Selangor dengan berbekal semangat, kita telah menang semula kerusi BN di Hulu Selangor," katanya.

Noh berkata semangat BN pada konvensyen kali ini nampaknya semakin bertambah dan keazaman yang ditunjukkan oleh pimpinan BN negeri begitu tinggi setelah ramai rakyat Selangor yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran negeri di bawah Pakatan Rakyat.
- Bernama

Tiada ulasan: