Selasa, 27 September 2011

Apa Hubungan DAP dan Orang Islam? - Nik Aziz.

KLPOS.COM

KOTA BARU– Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata hukum hudud yang mahu dilaksanakan di Kelantan sama sekali tidak kena-mengena dengan masyarakat bukan Islam terutama DAP yang juga tiada sebab membantah undang-undang Islam itu dilaksanakan.

Ia kenyataan pertama beliau selepas petang tadi kepimpinan Pakatan Rakyat mengarahkan pemimpin-pemimpin parti komponen tidak membuat kenyataan isu berkenaan sehingga ia dibincangkan Rabu ini.

Sehubungan itu beliau menyifatkan DAP seperti “budak-budak kecil takutkan hantu” sedangkan hukum hudud sebenarnya lebih adil dan tidak membabitkan golongan bukan Islam.

“DAP nak keluar (gabungan pembangkang) pasal apa? Hudud untuk orang Islam dan apa hubungan dia (DAP) dengan orang Islam,” katanya kepada pemberita di kediaman Menteri Besar di sini hari ini.

Semalam, Nik Aziz berkata hukum hudud itu akan dilaksanakan di Mahkamah Syariah di Kelantan walaupun mendapat tentangan daripada DAP.

Malah semalam, pemimpin-pemimpin kanan DAP dilaporkan akan meletakkan jawatan beramai-ramai sekiranya terdapat usaha meletakkan matlamat menjadikan negara Islam atau melaksanakan hukum hudud di negara ini.

Pada satu ceramah di Kuala Lumpur kelmarin, Nik Aziz menegaskan hukuman gantung sampai mati yang dilaksanakan dalam sistem perundangan negara ini lebih kejam daripada undang-undang Islam atau hukum hudud.

Jelas beliau, bagi jenayah berat seperti membunuh, merompak, menjual dadah dan sebagainya penjenayah boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati tetapi jika mengikut hukum hudud adalah potong tangan.

“Apa yang nak takut sangat (dengan hukum hudud)? Macam takut hantu... orang takut hudud macam takut hantu, tapi bila tanya apa itu hudud tidak tahu,” katanya lagi.

Petang tadi, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali meminta semua pemimpin Pakatan Rakyat tidak membuat sebarang kenyataan mengenai hukum hudud sehingga mesyuarat bulanan mereka lusa.

Ia adalah persetujuan yang dicapai antara beliau dengan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifudin Nasution Ismail dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke, katanya kepada pemberita.

Mustafa berkata, mesyuarat pada hari tersebut yang sepatutnya membincangkan mengenai Bajet 2012 tetapi akan meletakkan isu sensitif hukum Hudud sebagai keutamaan dan satu pendirian bersama akan dibuat. Malaysian Insider.


Tiada ulasan: