Sabtu, 24 September 2011

Anak yatim kampung Chicha harap dapat jumpa Nik Aziz

Harakahdaily


KUBANG KERIAN, : Harapan anak-anak yatim di Kampung Chicha semakin menjadi kenyataan kerana rumah baru mereka yang diusahakan ayah angkat mereka Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub dengan hasil titik peluh para penderma sudah hampir selesai.

Harakahdaily mula menyiarkan kesengsaraan yang dialami anak-anak yatim Kampung Chicha, yang nasib bagai jatuh ditimpa tangga, yang ibu bapa mereka meninggal setahun yang lalu kini tinggal sehelai sepinggan akibat rumah mereka terbakar hangus enam minggu yang lalu.

(Rumah anak yatim Kampung Chicha yang dibina atas sumbangan orang ramai hampir siap)

Salahuddin, yang juga Naib Presiden PAS telah memohon kepada mereka yang bersimpati agar dapat bersama-sama membantu anak-anak yatim untuk membina rumah baru kepada para anak buahnya ini.

“Hasil daripada kutipan sumbangan rakyat termasuk mereka yang tinggal di luar negara sebanyak lebih RM45 ribu telah dapat dikumpul untuk membina semula rumah kediaman mereka,” kata beliau kepada Harakahdaily selepas melawat tapak rumah baru (gambar) tersebut.

PAS Kawasan Kubang Kerian, katanya telah mengambil tanggungjawab menyelia pembinaan rumah anak-anak yatim ini yang dijangka siap dalam sebulan dua lagi.

“Anak-anak yatim ini berharap Yang Amat Berhormat Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat akan dapat datang membaca doa selamat sempena berpindah ke rumah baru mereka,” tambah beliau.

Tiada ulasan: