Khamis, 1 September 2011

Akhirnya Che Rosli Buat Pengakuan Tak Sokong Lynas

KELAN GREENBOC

Che Rosli: Saya tak langgar dasar PAS, tak sokong Lynas


KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Hulu Langat dari PAS Dr Che Rosli Che Mat berkata akan akur dengan sebarang tindakan parti Islam itu sambil menegaskan, beliau hanya muncul di TV3 atas kapasiti peribadinya sebagai seorang saintis.

Menjawab pendirian kontroversi mengenai loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng dan desakan agar dikenakan tindakan disiplin, Che Rosli berkata, beliau sebenarnya telah memaklumkan saluran swasta itu bahawa tidak akan hadir sebagai wakil PAS, sebaliknya selaku seorang pakar dalam bidang sains nuklear.

Che Rosli mengetepikan kritikan banyak pihak dengan berkata, “seperti Dr Ahmad Termizi Ramli (Pakar Keselamatan Radiologi dan Kesihatan), saya muncul di TV3 sebagai saintis. Itu sahaja.”

“Saya memberitahu wartawan TV3 bahawa saya perlu mendapatkan kebenaran presiden parti, tetapi oleh kerana wartawan Karam Singh Walia telah menelefon saya dua tiga kali, saya pun kata bahawa saya hanya akan hadir atas kapasiti sebagai seorang saintis,” kata bekas pensyarah sains nuklear kepada The Malaysian Insider.

Malangnya tegas Che Rosli, beliau telah diatribut sebagai wakil PAS — “Ahli Parlimen PAS” sehingga membawa kepada kontroversi sekarang.

“Bila saya disebutkan sebagai Ahli Parlimen PAS, maka ia menjadi kontroversi,” kata beliau.

“Saya hanya pergi sebagai seorang saintis, saya tidak bertindak bertentangan dengan parti, saya juga tidak menyokong Lynas,” katanya dengan merujuk kepada pandangannya bahawa hanya memberikan cadangan bagaimana sisa buangan loji Lynas boleh diuruskan.

“Sekarang sudah jadi isu kontroversi,” kata beliau yang bersedia untuk bertemu dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menjelaskan perkara sebenar.

“Saya akan bertemu dengan presiden parti, tetapi kalau nak saya beri penjelasan... boleh, tiada masalah, sila hantar surat secara formal, melalui surat berdaftar... saya akan pergi, sekarang saya baru dengar melalui akhbar, belum ada surat rasmi,” kata wakil rakyat ini sambil menambah, “saya dengar akan dikenakan tindakan kerana melanggar disiplin, katanya nak panggil saya beri penjelasan.”

The Malaysian Insider difahamkan beliau akan dipanggil ke ibu pejabat parti pada minggu kedua bulan depan.

Dalam satu kenyataan Mac lalu, Che Rosli pernah berkata, negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat perlu mengorak langkah dengan mendahului kerajaan persekutuan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui ini demi masa depan rakyat dan lestari alam.

Katanya, jika sisa-sisa buangan ini dijana dengan betul satu penghasilan tenaga baru akan meningkat.

Semalam, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu The Malaysian Insider, partinya akan memanggil Che Rosli, yang dilaporkan menyokong pembinaan loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng dekat Kuantan, untuk membuat penjelasan mengenai pendiriannya selepas cuti sambutan Aidilfitri.

Bagaimanapun pucuk pimpinan tidak menganggap kenyataan wakil rakyat itu sebagai satu tindakan melanggar disiplin parti walaupun bercanggah dengan pendirian PAS.

“Kami akan minta YB Che Rosli agar memberi penjelasan kepada pucuk kepimpinan kerana apa yang dikatakan oleh beliau bercanggah dengan pendirian parti,” kata Tuan Ibrahim sambil menambah, “setakat ini apa yang dikatakan oleh beliau tidak boleh dianggap sebagai isu disiplin.”

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, Che Rosli kemungkinan telah memberi pandangannya mengikut kepakaran beliau dalam bidang nuklear, tetapi pendirian parti adalah berlainan iaitu tidak bersetuju dengan loji Lynas didirikan di Gebeng.

Akhir minggu lalu, pemimpin Pakatan Rakyat Pahang membidas TV3 ekoran pengakuan Che Rosli yang menyokong pembinaan loji pemprosesan nadir bumi Lynas.

Naib Presiden PKR Fuziah Salleh, yang mendesak agar loji bernilai RM700 juta itu dihentikan, mahu TV3 menarik balik dan meminta maaf termasuk Ketua MCA Kuantan, Datuk Ti Lian Ker yang telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap dirinya.

PAS Pahang juga meminta kepimpinan pusat agar memanggil Che Rosli untuk memberikan penjelasan berhubung perkara itu.

Ketua Penerangan PAS Pahang Suhaimi Md Saad memberitahu The Malaysian Insider tindakan Che Rosli itu tidak boleh diterima kerana beliau sepatutnya menyatakan sokongan melalui akhbar rasmi parti, Harakah.

“Kita tahu beliau menyokong loji itu semasa kali pertama kita bincangkan isu ini pada 2009. Tetapi selepas berunding dengan pakar lain, pendirian PAS adalah membantah projek itu. Tetapi sekarang beliau telah masuk ke musuh untuk serang parti sendiri,” katanya.

TV3 menyiarkan satu laporan khas oleh wartawan alam sekitar Karam Singh mengatakan Dr Ahmad Termizi dan Che Rosli mendakwa Fuziah memperdayakan orang awam dengan membandingkan Lamp dengan kemudahan nuklear.

Che Rosli didakwa bertindak menuduh PKR memutarbelitkan isu itu untuk kepentingan sendiri dan beliau “malu” dengan hujah-hujah yang dibuat tanpa asas saintifik atau akademik.

Fuziah berkata, Che Rosli hanya bercakap tentang soal bahaya radiologi sedangkan beliau dan penduduk di sekitar loji itu telah berunding dengan ramai pakar dalam beberapa bidang termasuk kesihatan awam, kejuruteraan kimia, fizik nuklear dan undang-undang alam sekitar. -TMI

Ulasan GB

Dan kita berharap isu ini sekali lagi memberi pengajaran kepada YB-YB dan pemimpin parti komponen Pakatan Rakyat.

Isu ini menjadi kontroversi kerana Che Rosli tidak dapat menepis pelawaan Karam Singh Walia - yang kemudiannya "bersetuju" untuk pergi sebagai seorang saintis.

“Saya memberitahu wartawan TV3 bahawa saya perlu mendapatkan kebenaran presiden parti, tetapi oleh kerana wartawan Karam Singh Walia telah menelefon saya dua tiga kali, saya pun kata bahawa saya hanya akan hadir atas kapasiti sebagai seorang saintis,”


Kita tidak dapat memisahkan diri kita menjadi dua. Seorang YB PAS, seorang saintis. Orang sudah kenal siapa kita. Dan apa-apa juga perkataan kita yang berbeza pandangan dengan dasar parti di kaca TV arus perdana sepastinya dieksploitasi dan dimanipulasi sepuasnya oleh mereka.

Che Rosli akhirnya membuat kenyataan beliau tidak bersetuju dengan projek Lynas. Baguslah.

“Saya hanya pergi sebagai seorang saintis, saya tidak bertindak bertentangan dengan parti, saya juga tidak menyokong Lynas,”

Kenyataan seperti itu sepatutnya disuarakan semasa wawancara berkenaan untuk mengelakkan ia menjadi kontroversi. Tetapi Che Rosli terus bercakap dengan menyerang YB Pakatan Rakyat pula. Jadi beliau tidak boleh menyalahkan pihak yang berpersepsi negatif terhadapnya.

Natijahnya, berlakulah apa yang dikatakan kontroversi itu.

Episod ini sepatutnya membuka mata semua pemimpin parti komponen PR. Jangan mudah terpedaya dengan bujukan media arus perdana. Jangan timbulkan kekecohan menjelang pilihanraya.

Ulasan GB sebelum ini di SINI. Petikan:

Kita sentiasa mengingatkan supaya berhati-hati terhadap mikrofon wartawan dari media arus perdana, tetapi yang kali bukan sekadar mikrofon, siap dengan paparan kaca TV lagi!

Dan yang aneh beliau berdalih menyatakan hendak dicakapkan adalah hal-hal teknikal sedang yang berlaku ialah serangan sesama ahli parlimen di kalangan Pakatan. Bukankah itu pendustaan namanya di bulan puasa?

TV3 menyiarkan satu laporan khas oleh wartawan alam sekitar Karam Singh Walia mengatakan Pakar Keselamatan Radiologi dan Kesihatan Dr Ahmad Termizi Ramli dan Che Rosli mendakwa Fuziah memperdayakan orang awam dengan membandingkan Lamp dengan kemudahan nuklear.

Che Rosli bertindak menuduh PKR memutarbelitkan isu itu untuk kepentingan sendiri dan beliau “malu” dengan hujah-hujah yang dibuat tanpa asas saintifik atau akademik. -TMI


dan tanpa segan silu beliau menghentam akhbar Harakah melalui kaca TV3:

Che Rosli turut mengkritik akhbar rasmi PAS, Harakah kerana bersikap tidak adil terhadap beliau berbanding Ahli Parlimen Kuantan dari PKR, Fauziah Salleh yang sering disiarkan kenyataan-kenyataannya berhubung nuklear dan isu Lynas yang bertentangan dengan pendiriannya. -Harakahdaily

Tiada ulasan: