Ahad, 18 September 2011

7,000 bekas ahli PKR Selangor sertai BN - Najib

KLPOS.COM

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima 7,000 keping borang keahlian untuk menyertai Barisan Nasional (BN) daripada bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari sekitar Selangor.

Mereka terdiri daripada ahli PKR di kawasan Seri Muda, Shah Alam, Bukit Kemuning, Puchong, Kinrara, Petaling Jaya dan Ijok.

Borang berkenaan diserahkan pada majlis mesra pemimpin-pemimpin BN sempena Program Sirih Pulang ke Gagang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar; Penaung program, Datuk Shafie Abdullah dan Pengerusi program, Datuk Sheikh Badar Sheikh Embong.

Kesemua mereka yang menyokong PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-12 membuat keputusan keluar daripada parti itu kerana tidak lagi percaya dengan pemimpin parti itu yang ternyata gagal menunaikan janji-janji yang dibuat semasa pilihan raya.

Najib yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor dalam ucapannya menyifatkan tindakan mereka yang terlibat membuktikan semakin ramai ahli parti pembangkang sudah hilang kepercayaan terhadap barisan kepemimpinan Kerajaan PKR Selangor.


Tiada ulasan: