Sabtu, 20 Ogos 2011

Wanita dikerat: 10 rakyat Bangladesh, seorang Indonesia ditahan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Polis menahan 11 lelaki warga asing berhubung kes membunuh seorang wanita yang mayatnya dikerat-kerat dan seorang kanak-kanak lelaki di Ampang awal bulan ini.

Mereka terdiri daripada 10 warga Bangladesh berumur dalam lingkungan 20 hingga 30-an dan seorang warga Indonesia.

“Motif sebenar kejadian masih belum diketahui, dan kita percaya mengetahuinya dalam masa terdekat,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga 22 Ogos dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, lapor Bernama Online hari ini.

Dalam kejadian itu, polis menemui keratan tubuh dan organ manusia, termasuk usus, dalam beberapa beg plastik serta dalam mangkuk tandas di sebuah unit di tingkat lima Pangsapuri Astaria, Taman Kosas, Ampang dekat sini.

Selepas siasatan awal, polis mengesahkan semua beg plastik itu mengandungi keratan mayat seorang wanita warga asing dalam lingkungan 30-an dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 20 bulan.

Mohd Adnan berkata polis turut merampas beberapa barangan kes termasuk dua bilah pisau, dua pasu bunga dan dua batang mob dari rumah didiami suspek yang terletak beberapa baris dari rumah mangsa.

Beliau berkata polis tidak dapat mengenal pasti sama ada kanak-kanak lelaki itu adalah anak wanita berkenaan.

Ditanya mengenai seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai suami kepada wanita itu, Mohd Adnan berkata polis tidak dapat mengesahkan hubungan mereka.

Tiada ulasan: