Sabtu, 13 Ogos 2011

SPR keluarkan 12,000 pemilih lebih 90 tahun

Oleh Sazarina Shahrim

Suruhanjaya kemas kini nama tak aktif

PUTRAJAYA: Kira-kira 12,000 pemilih berusia 90 tahun ke atas yang tidak aktif dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan dikeluarkan daripada senarai daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata keputusan yang diputuskan semalam itu bertujuan mengemas kini dan membersihkan senarai pemilih SPR sedia ada.

Jika mereka tampil, kita akan masukkan semula nama mereka dalam senarai daftar pemilih. - Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi SPR

“Jika mereka ini tidak aktif dengan JPN iaitu tiada langsung berurusan dengan JPN dalam tempoh tertentu, seperti tukar kad pengenalan, ia akan dianggap tidak aktif dan akan dikeluarkan daripada senarai daftar pemilih.

“Namun, jika mereka tampil, kita akan masukkan semula nama mereka dalam senarai daftar pemilih,” katanya pada sidang media sebelum majlis berbuka puasa SPR di sini, semalam.

Beliau berkata, SPR juga akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) minggu depan untuk berbincang supaya kerjasama membabitkan senarai pemilih akan lebih kemas dan teratur.

“Kita tidak mempunyai masalah dengan JPN yang sudah mempunyai ALIS (Agency Link-up System, namun, kita mahu sentiasa perbaiki kerjasama ini supaya ia menjadi lebih baik,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan parti politik terutamanya pembangkang yang sering menimbulkan isu senarai pemilih yang meragukan, Abdul Aziz berkata, ia seolah-olah mahu memburukkan SPR dan sengaja ingin menjejaskan kredibiliti suruhanjaya itu.

“Dakwaan kononnya kita mendaftarkan ramai penduduk tetap dan bukan warganegara, tidak benar sama sekali,” katanya.

Beliau mengakui terdapat beberapa kesalahan teknikal dalam senarai pemilih ketika ini namun ia tidak harus seharusnya diperbesarkan.

Ditanya mengenai persiapan pilihan raya umum akan datang, beliau berkata, jawatankuasa teknikal sudah dibentuk dan melantik urusetia peringkat pusat dan negeri bagi membincangkan mengenai pelbagai aspek termasuk bajet, petugas dan logistik.

Tiada ulasan: