Rabu, 17 Ogos 2011

Semua pihak perlu hormati sensitiviti umat Islam

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama seharusnya memahami dan menjaga sensitiviti yang sedia wujud di antara untuk mengelakkan sebarang polemik yang tidak diingini daripada berlaku.

Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Negeri Selangor, Khairuddin Abas berkata, ini terutama sekali dengan menghormati kedudukan Islam sepertimana yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Merujuk kepada polemik Gereja Methodist Damancara Utama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada ketika ini, katanya Abim Selangor ingin menegaskan pendirian bahawa pihak-pihak bukan Islam seharusnya menghormati sensitiviti serta batasan umat Islam dalam beberapa aspek.

“Penegasan ini dibuat merujuk kepada beberapa aktiviti yang berlaku dalam gereja tersebut seperti berbuka puasa, menyanyikan lagu Allahu Akhbar, Alhamdullilah, di samping kuiz soal jawab yang mengelirukan mengenai Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Ini, ujarnya sekaligus mencetuskan pelbagai persoalan di sebalik niat dan objektif yang ingin dipenuhi oleh pihak penganjur program tersebut.

Abim Selangor juga, tambahnya ingin melahirkan rasa kesal terhadap penggunaan kalimah Allah yang terdapat dalam perkataan Allahu Akhbar dan Alhamdullilah yang dikumandangkan oleh pihak terbabit, kerana ia seakan tidak merujuk kepada status penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam yang masih lagi menjalani proses perundangan di mahkamah.

“Dalam hal ini, Abim Selangor ingin mengetengahkan kekhuatiran terhadap gerakan Kristianisasi yang dijalankan oleh gereja-gereja tertentu di seluruh negara, khususnya di bandar-bandar besar serta memandang berat laporan jemputan-jemputan yang dibuat oleh pihak terbabit di kalangan golongan remaja,” katanya lagi.

Beliau menambah, aktiviti digerakkan menerusi pengedaran Bible secara percuma, risalah, komik yang disasarkan khusus kepada remaja Melayu yang dikhuatiri berniat untuk menimbulkan keraguan serta kekeliruan di kalangan mereka terhadap ajaran Islam itu sendiri di samping kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan atas nama kebebasan beragama.

Tiada ulasan: