Khamis, 4 Ogos 2011

Selangor Tubuh Pasukan Khas Pantau UNISEL - Khalid Ibrahim

Ditulis oleh Naeem Raffi


SHAH ALAM : Kerajaan Negeri Selangor akan menubuhkan satu pasukan khas untuk meneliti permasalahan dalam pengurusan Universiti Selangor (UNISEL) ekoran perletakan jawatan secara mengejut oleh Naib Canselor, Dr Rosti Saruwono.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pasukan khas tersebut akan dikemudi oleh tiga individu yang berkelayakan bagi memastikan UNISEL terus berkembang maju sebagai institusi pengajian utama di Selangor.

"Tiga daripada mereka mempunyai kelulusan akademik yang sesuai bagi melihat pembangunan UNISEL dan ketiga mereka juga mempunyai pengalaman pentadbiran organisasi-organisasi yang lebih besar daripada Unisel."

Mereka yang dimaksudkan adalah Dato’ Dr Ir Muhamad Zohadie Bardaie, Dato’ Dr Adnan Alias dan Dato’ Dr Mohamed Ariffin Aton.

Kesemua mereka adalah Ahli Lembaga Pengarah UNISEL.

"Exco juga diberitahu mengenai penubuhan pasukan khas untuk selesaikan perkara yang berlaku di Unisel.

"Oleh sebab itu saya akan membuat perbincangan dengan tiga individu tersebut bagi membincangkan perkara-perkara yang perlu dibuat untuk menentukan UNISEL akan terus berkembang setanding dengan mana-mana universiti di dalam negara," katanya.

Datuk Dr. Rosti Saruwono meletak jawatan sebagai Naib Canselor UNISEL, dengan notis 24 jam berkuat kuasa hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Rosti sebagai berkata beliau meletak jawatan ekoran tidak sanggup memecat tiga pegawai UNISEL yang diarah meletakkan jawatan.

Mereka adalah Pegawai Pendaftar, Rokmaa Mat, Dekan fakulti Perniagaan, Prof. Dr Khalifah Othman, Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Koprat, Halid Hasbullah.

Mengulas hal tersebut, Khalid berkata perkara itu telah dibincangkan lebih awal bersama Naib Canselor dan tiga Timbalan Naib Canselor.
“Dr Rosti terlibat dalam perbincangan ini dan beliau tahu keputusan yang telah dibuat. Malah beliau juga telah menandatanganinya,” katanya.

Rosti yang berasal dari Klang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Presiden Bahagian Pendidikan Petronas dan Rektor pertama Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Beliau dilantik sebagai Naib Canselor UNISEL pada 2 Mac 2009 bagi menggantikan Prof. Datuk Dr. Mohd. Razali Agus yang mengosongkan jawatan itu pada Julai 2008.

"Saya ingat dalam mana-mana institusi politik dalaman mesti ada, tetapi walau apapun, Kerajaan Negeri bersetuju menerima peletakan jawatan beliau, kita tidak ada halangan untuk perkara ini. Sebab itu adalah keputusan beliau," katanya.

Tiada ulasan: