Khamis, 4 Ogos 2011

Sawah padi di Tunjang, Kedah diserang 'perosak'

BERNAMA


Lebih 200 pesawah di Kampung Pida 3 dan Kampung Pida 3 1/5, Tunjang dekat Jitra terpaksa menanggung kerugian puluhan ribuan ringgit ekoran tanaman padi yang diusahakan mereka sejak April lalu musnah akibat penyakit bena perang.

Serangan itu dipercayai menjejaskan lebih 300 hektar tanaman padi.

NONEPengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) B 2 Sanglang, Md Nor Hamzah berkata penyakit menyerang secara tiba-tiba sehingga menyebabkan mereka tidak sempat melakukan sebarang persediaan awal untuk menghalangnya.

Beliau yang juga pemilik sawah berkata ada di kalangan pesawah yang telah melakukan semburan racun perosak tetapi bena perang terlalu sukar untuk dikawal ekoran faktor cuaca dan angin.

"Kami terpaksa menanggung kerugian antara RM20,000 hingga RM50,000 ekoran padi hanya menunggu masa untuk dituai setelah menunggu selama empat bulan.

"Ada pesawah terpaksa melakukan proses tuaian lebih awal daripada tarikh tuaian sebenar kerana bimbang penyakit akan merebak dan menyebabkan keseluruhan padi mereka rosak," katanya.

Pada masa yang sama Md Nor kesal kerana pegawai PPK kawasan tidak prihatin dengan kejadian tersebut.

"Saya dan pesawah lain kesal dengan tindakan pegawai PPK kawasan yang tidak turun padang meninjau keadaan sawah padi kami sejak mula ditanam April lalu.

rice paddy padi beras from thailand in malaysia 190307"Mereka juga tidak memberi khidmat nasihat kepada kami tentang kaedah pengawalan penyakit," katanya.

Hassan Samat, 66, berkata hasil tuaiannya pada tahun ini merosot sebanyak 80 peratus disebabkan serangan bena perang.

Beliau hanya memperoleh hasil sebanyak sembilan tan berbanding 21 tan tahun lalu.

"Ini menyebabkan persiapan menyambut perayaan Aidilfitri nanti terjejas.Kami semua bergantung kepada hasil pertanian sahaja dan tidak mempunyai pendapatan sampingan lain untuk menyara keluarga," katanya dan berharap pihak bertanggungjawab prihatin dengan nasib yang menimpa mereka.


Tiada ulasan: