Selasa, 16 Ogos 2011

Saman fitnah RM200 juta Felda: Tan dibebaskan

MALAYSIA KINI


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman fitnah RM200 juta yang dikemukakan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan Felda ke atas bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Datuk Dr Tan Kee Kwong - yang sekarang menanggotai PKR.

Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof berkata walaupun beliau berpendapat artikel berkenaan berbaur hasutan, Felda gagal membuktikan bahawa Tan yang membuat kenyataan itu.

Katanya, Felda telah gagal memanggil wartawan Faizal Zakaria yang ketika itu wartawan akhbar Suara Keadilan untuk memberikan keterangan di mahkamah yang menulis artikel berkenaan.

"Berikutan ini, kes ditolak dengan kos,” katanya.

NONEHakim Zabariah mengarahkan kos sebanyak RM70,000 kepada Tan, meskipun peguamnya Razlan Hadri Zulkifli dan Ho Kok Yew meminta RM100,000.

Tan yang menitiskan air mata kegembiraan kemudiannya mengucapkan terima kasih kepada hakim dan berkata tindakan itu tidak akan membantutkan usahanya memperjuangan keadilan dan kebenaran.

Sementara itu, ketua PKR Johor dan juga naib presiden parti itu Datuk Chua Jui Meng yang juga hadir di mahkamah berkata saman itu jelas bermatlamat menjadikan Tan bankrap.

"Ramai yang berdoa mengharapkan saman itu ditolak. Adalah baik bahawa mahkamah tidak ditekan atau dipengaruhi oleh pihak tertentu. Kes ini membuktikan bahawa masih terdapat hakim yang baik,” katanya.

Pada 25 Januari lalu, Felda dan anak syarikatnya, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd menyaman Tan berhubung satu artikel muka depan akhbar Suara Keadilan bertajuk 'Kontroversi' yang didakwa memfitnah mereka.

NONEArtikel itu bersambung di muka tiga di bawah tajuk 'Bina Bangunan RM662 Juta Hanya Libatkan Tiga Individu'.

Mereka mendakwa artikel itu telah memfitnah mereka kerana kata-kata tersebut memberi makna tersirat bahawa pemerolehan dan pembinaan Menara Felda di Segitiga Emas di Kuala Lumpur adalah untuk faedah kroni.

Plaintif mendakwa artikel itu telah memfitnah mereka kerana perkataan tersebut membayangkan bahawa pemilikan dan pembinaan Menara Felda di kawasan Tiga Segi Emas Kuala Lumpur akan memanfaatkan gabungannya.

Tan dalam kenyataan pembelaan berkata perkataan itu mengandungi komen yang adil mengenai perkara melibatkan kepentingan awam.

Ketika menolak saman itu, Zabariah mendapati bahawa perkatan memfitnah yang menuduh Felda dan syarikat pelaburannya salah guna pengurusan dan kedudukan kewangannya, telah menyerang Felda dalam perkara ia melaksanakan hal ehwalnya.

Dalam alasan panjang lebarnya, bagaimanapun beliau memutuskan bahawa Felda dan Felda Global Ventures tidak dapat membuktikan bahawa Tan telah mengeluarkan kata-kata memfitnah itu kapada pemberita Suara Keadilan, Faizal Zakaria.

Beliau berkata Faizal tidak dipanggil untuk memberi keterangan semasa perbicaraan saman itu.

"Tidak pernah pada hakikatnya dipersetujui bahawa defendan (Dr Tan) mengeluarkan kata-kata itu kepada pemberita. Apa yang dipersetujui ialah defendan ditemu bual oleh Faizal," kata beliau.

Zabariah berkata tidak dipertikaikan bahawa ada penerbitan artikel itu kemudiannya mengenai temu bual tersebut tetapi ia tidak membuktikan bahawa apa yang diterbitkan dalam artikel berkenaan adalah kata-kata Dr Tan.

Hakim itu berkata bahawa saksi-saksi plaintif lain tidak ada semasa Faizal menemu bual Tan dan sehubungan itu bukan mempunyai kedudukan untuk mengesahkan sama ada dakwaan perkataan memfitnah itu semuanya diperkatakan oleh Dr Tan.

Dr Tan menitiskan air mata ketika keputusan dibacakan.

Peguam Datuk Firoz Hussein Jamaluddin yang mewakili Felda dan syarikat pelaburannya berkata beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guamnnya sama ada untuk membuat rayuan mengenai keputusan itu.

Tiada ulasan: