Khamis, 18 Ogos 2011

Rusuhan di UK dan perhimpunan aman Bersih

Oleh Muhammad Zir


Menyamakan rusuhan di United Kingdom baru-baru ini dengan perhimpunan aman Bersih 2.0 merupakan satu tindakan yang amat dangkal dan menyimpang dari konsep sebenar demokrasi.

Apa yang berlaku di UK itu pada hakikatnya bermula apabila polis telah menembak mati seorang berketurunan kulit hitam kerana disyaki terlibat dengan sindiket mengedar dadah. Segelintir penduduk tempatan membantah tindakan polis.

Daripada demonstrasi kumpulan hak asasi, ia merebak menjadi aksi ganas. Akhirnya tiada siapa yang tahu punca sebenar keganasan memukul orang tak bersalah, membakar kenderaan dan bangunan, merompak dan mencuri di UK.

Kita bandingkan pula punca Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan aman pada 9 Julai lalu. Berpuluh-puluh kumpulan NGO mewakili masyarakat madani berkumpul secara aman untuk menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya membersihkan amalan kotor pilihan raya di negara ini.

Rusuhan di UK dan perhimpunan aman di Malaysia adalah dua perkara yang amat jauh berbeza.

Kita lihat konteks kedua-kedua kejadian ini berlaku.

Pihak berkuasa UK sendiri mentakrif apa yang berlaku di jalan-jalan di sekitar kota UK itu sebagai rusuhan. Malah Perdana Menteri Britain dan Ketua Polisnya menyifatkan rusuhan itu sebagai tindakan yang tidak masuk akal.

Kumpulan perusuh tidak menyatakan apa-apa tuntuan kepada pihak kerajaan Britain, sebaliknya merosakkan harta benda awam dan melakukan pelbagai jenayah lain.

Bagi Bersih 2.0 pula, sebelum perhimpunan itu dilaksanakan, pihak penganjur sendiri telah mengambil inisiatif untuk berbincang dengan kerajaan dan SPR baik dari aspek perlaksanaan mahu pun dari aspek terma-terma tuntutannya.

Malah dalam hal ini, Yang di-Pertuan Agong sendiri sudi menerima kunjungan pemimpin Bersih 2.0 dalam menasihati dan memberi pandangan mengenai perhimpunan dan segala tuntutan itu.

Justeru, dari aspek mana Bersih 2.0 boleh disamakan dengan rusuhan ganas di UK itu?

Perkataan ‘rusuhan’ dan ‘perhimpunan aman’ itu sendiri perbezaannya bagai langit dengan bumi.

Dalam rusuhan di UK, siapakah pemimpin yang melaksanakannya? Adakah ia satu pertubuhan yang tersusun dari segi organisasinya dan jelas tuntutannya? Adakah perusuh-perusuh itu memang ada niat murni untuk menuntut perubahan ekonomi yang lebih adil bagi mereka yang dikatakan terpinggir?

Adakah kumpulan-kumpulan perusuh ini secara ‘tidak sengaja’ telah memecah, membakar dan merompak kedai dan orang ramai? Mengapa orang awam menjadi mangsa dalam rusuhan di UK?

Bandingkan dengan keadaan di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu. Adakah sesiapa yang cedera atau mati kerana dipukul oleh orang ramai yang menyertai perhimpunan aman Bersih 2.0? Adakah para perserta yang berhimpun secara aman membakar kereta dan bangunan atau merompak kedai?

Sebaliknya rakyat Malaysia melihat dengan mata sendiri (malah jutaan lagi rakyat menonton rakaman tanpa tapisan di internet) tentang keganasan polis yang menyembur gas pemedih mata dan menembak meriam air, malah beberapa anggota polis telah menyerang dan memukul peserta perhimpunan aman Bersih 2.0.

Kita semua jangan sesekali diperbodohkan oleh pemimpin UMNO-BN yang semakin terdesak mencari peluru untuk menembak perjuangan rakyat yang sah dan adil ini. Jangan telan bulat-bulat fitnah oleh media massa yang dikuasai oleh UMNO-BN.

Malah, sudah ada di kalangan pimpinan UMNO sendiri yang berani bersuara menentang fitnah yang disembur oleh pucuk pimpinan parti melalui lidah rasmi UMNO, iaitu Utusan Malaysia, dan TV serta radio kawalan mereka yang sentiasa menabur pembohongan demi mengekalkan kuasa UMNO yang semakin tak relevan itu.

Pemimpin seperti Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Saifudin Abdullah yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO tidak bersetuju apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar menyamakan rusuhan di UK dengan perhimpunan aman Bersih 2.0.

Tidakkah orang-orang UMNO malu dengan kenyataan ini? Selama mana ahli-ahli UMNO masih mahu percaya fitnah Utusan, Berita Harian, TV3 dan semua media yang dikawal UMNO-BN?

Semakin kuat kita dituduh dengan pelbagai stigma dan fitnah, semakin nyata pembohongan mereka.

Malah, tanpa segan silu mereka menyamakan perjuangan murni rakyat ini dengan ketamakan kuasa mereka yang kekal di puncak hingga hari kiamat. Semata-mata kerana UMNO-BN gilakan kuasa, mereka melihat orang lain juga seperti mereka.

Maka itu, mereka tergamak berbohong dan memfitnah rakyat yang turun ke jalan raya pada perhimpunan aman Bersih 2.0 tempoh hari, yang disamakan dengan rusuhan ganas di UK. Hanya orang yang buta hati tergamak berkata demikian. – Roketkini.com

Tiada ulasan: