Jumaat, 12 Ogos 2011

Rakyat Kelantan berpeluang sertai Ar Rahn

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan kini berpeluang menyertai perniagaan sistem gadaian Islam (Ar Rahn) dengan menyertai Koperasi Rakyat Kelantan Berhad (KRKB).

KRKB ditubuh pada 21 Januari lalu mensasar sebanyak RM10 juta dalam masa tiga bulan pertama selepas dilancarkan Ahad ini.

Pengerusi KRKB, Sabri Abdullah berkata, KRKB ditubuhkan untuk memberi peluang kepada rakyat Kelantan bersama-sama melibatkan diri dalam bidang perniagaan terutamanya Ar Rahn.

”Kami mensasarkan dapat memungut jumlah tersebut dalam masa singkat memandangkan ramai rakyat Kelantan berminat dalam perniagaan.

”Melalui modal permulaan yang dipungut melalui pendaftaran ahli kita merancang membuka cawangan Ar Rahn baru di beberapa tempat termasuk Tumpat, Rantau Panjang dan Machang,” katanya sempena majlis berbuka puasa di sini malam tadi.

KRKB mendapat kelulusan melabur dalam projek usahasama dan francais Ar-Rahn daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada 4 Mei lalu.

KRKB beroperasi di alamat PT 448, Tingkat 2, Jalan Kuala Krai, Batu 3, Wakaf Che Yeh, Kota Bharu. Pelancaran koperasi itu akan dirasmikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan Trade Centre 14 Ogos ini.

Menurut Sabri KRKB mendapat kerjasama sepenuhnya Permodalan Kelantan Berhad (PKB) anak syarikat milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan yang kini menguruskan 25 cawangan Ar Rahn di seluruh negara.

Sebuah negara asing juga difahamkan berminat mempelajari kaedah digunakan Ar Rahn dan dijangka sistem gadaian Islam tersebut dilancarkan di negara berkenaan tidak lama lagi.

Mohd Sabri berkata, PKB memberi komitmen untuk menerima pelaburan daripada KRKB.

”Ahli KRKB tidak perlu bimbang dalam urusan berkaitan kewangan kerana koperasi ini telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia,” ujarnya.

Menurutnya juga nilai minimum pelaburan sebanyak RM500 dan pulangan dividen yang kompetitif.

Mereka yang berminat boleh menghubungi ibu pejabat KRKB di talian 09 741 4332, 743 2281 atau layari laman web www.krk.com.my

Tiada ulasan: