Isnin, 1 Ogos 2011

Putrajaya, SPR bincang isu benar pelajar Malaysia luar negara undi

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Kerajaan akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sama ada perlu untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pelajar Malaysia di luar negara mengundi pada pilihan raya umum, kata Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Perdana Menteri berkata sekiranya ada keperluan seumpama itu, maka kerajaan akan mengkaji dan membincangkan dengan SPR.

Najib mengatakan demikian ketika menjawab soalan pada sesi dialog sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia Kelima di sini.

“Bagi membolehkan ia menjadi kenyataan, kita perlu mendapatkan majoriti dua pertiga sebelum pindaan dapat dilakukan. Kita akan melihatnya dan mungkin dapat sokongan pembangkang bagi mencapai majoriti dua pertiga dan meminda Perlembagaan,” katanya dipetik Bernama Online.

Di bawah undang-undang sekarang hanya pelajar sepenuh masa yang belajar di institut pengajian tinggi di luar negara dan pasangan boleh mengundi menerusi kaedah undi pos.

Beliau juga berkata kerajaan juga komited untuk pembaharuan proses pilihan raya dan juga menangani isu pengundi hantu dan salah satu langkah diambil ialah dengan memperkenalkan sistem biometrik.

Pada majlis yang sama, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional enggan memberi sebarang respons terhadap kenyataan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pendekatan “Melayu dulu, barulah rakyat Malaysia.”

Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan Najib mendapat kecaman hebat daripada Pakatan Rakyat selepas Muhyiddin mengatakan beliau “Melayu dulu, kemudian rakyat Malaysia” tahun lalu.

Ketika ditanya oleh seorang mahasiswa mengenai pendiriannya, Najib berkata beliau tidak mahu mengulas sebaliknya mahu terus berpegang kepada konsep 1 Malaysia.

“Saya tidak mahu respons tentang itu dengan cara yang boleh memecahkan saya dengan timbalan saya, 1 Malaysia adalah panduan utama.

“Tidak kisah apa yang anda mahu katakan, tapi perlu berpandukan konsep itu (1 Malaysia),” katanya.

Perkara sama pernah dibangkitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz namun menegaskan beliau adalah “rakyat Malaysia terlebih dahulu dan kemudian baru orang Melayu.”

Dalam ucapan itu, Najib juga berkata konsep 1 Malaysia berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan yang mana kerajaan akan memberi keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang.

“(Gagasan) 1 Malaysia berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan kita perlu hormat Perlembagaan Persekutuan, yang mana kita perlu adil kepada semua.

“Polisi ini berpegang kepada keadilan jadi semua orang akan dapat (hak),” katanya.

Tambah beliau, perpaduan antara semua rakyat Malaysia merupakan kekuatan kepada konsep 1 Malaysia.

Tiada ulasan: