Selasa, 16 Ogos 2011

Pertemuan PAS-gereja petang ini ditangguhkan

Abdul Rahim Sabri

Pertemuan antara PAS dengan pihak Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) yang dijadualkan hari ini berhubung tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 3 Ogos lalu, ditangguhkan ke tarikh lain.

Ketika dihubungi Malaysiakini, setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali mengesahkan bahawa pertemuan petang ini telah ditangguhkan.

Bagaimanapun, katanya, pertemuan itu bukan dibatalkan, tetapi hanya ditangguhkan ke tarikh lain.

Sementara itu, bercakap dalam satu sidang akhbar di pejabat agung PAS di ibunegara tengahari ini, Mustafa berkata penangguhan itu dibuat atas permintaan pihak gereja berkenaan.

Katanya, permintaan itu terkandung dalam surat yang dihantar oleh DUMC kepada PAS semalam.

Mustafa berkata, sebelum itu, dalam surat pertamanya, DUMC meminta supaya jangan ada liputan media berhubung pertemuan berkenaan.

Berikutan itu, katanya, PAS mencadangkan supaya dicari tempat lain daripada yang dicadangkan sebelumnya.

"Mungkin (timbul) komen-komen yang banyak, kita tangguhkan dulu... akan tentukan tarikh baru," katanya.

“Dia (pihak gereja akan memaklumkan kepada PAS, bila tarikh baru (untuk pertemuan) yang akan diadakan... Jadi tidak ada pertemuan hari ini," katanya.

Semalam, pertemuan dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut dibatalkan atas nasihat Sultan Selangor.

Bagaimanapun PAS masih berharap untuk berjumpa dengan jabatan itu bagi mendapat penjelasan dan gambaran sebenar berhubung kejadian berkenaan.

Tiada ulasan: