Selasa, 2 Ogos 2011

Permata Rosmah: Zuraida gesa Najib debat di parlimen

Oleh: Nabihah Hamid

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa merujuk permintaan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang mahu peruntukan lebih untuk Program Permata Negara (Permata), dibincang di parlimen.

Ketua Wanita Pusat, Zuraida Kamaruddin berkata, Ini kerana peruntukan sebanyak RM111 juta yang diperuntukkan buat Permata pada Belanjawan 2011 lalu juga telah habis diguna pakai tanpa sebarang laporan rekod kewangan dan perbelanjaan dibentangkan.

“Najib selaku Menteri Kewangan sendiri harus tahu bahawa laporan kewangan dan rekod perbelanjaan ini penting bagi mengawal aliran perbelanjaan negara, sekaligus mengelakkan pembaziran yang melampau dan berterusan,” kata Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Menurut Zuraida, wang rakyat dan pembayar cukai tidak seharusnya digunakan untuk tujuan publisiti dan peribadi, termasuk pembelian beg tangan dan cincin berlian berharga jutaan ringgit.

Tambahnya, Permata yang turut mendapat peruntukan RM100 juta pada 2010 perlu membentangkan laporan kewangan, data keberhasilan dan indikator pencapaian programnya kepada semua Ahli Parlimen agar kajian penambahbaikkan yang menyeluruh juga dapat dibuat.

“Maka, saya menggesa agar Najib membentang dan mendebatkan perkara ini di sidang Parlimen terlebih dahulu sebelum meluluskan atau membuat sebarang keputusan mengenainya kerana ianya akan melibatkan jutaan ringgit dana awam,” kata Zuraida.

Pada 28 Julai lalu, Bernama melaporkan Rosmah meminta supaya peruntukan untuk Permata ditambah kononnya bagi memperluaskan pembangunan pusat berkenaan di kawasan memerlukan, terutama di luar bandar.

Permintaan itu dilihat tidak sesuai ketika rakyat mennghadapi kesengsaraan akibat kenaikan harga minyak dan harga barang.

Pada Mei lalu, kerajaan memberi alasan menaikkan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram, bagi menjimatkan wang negara sebanyak RM116.6 juta, sedangkan Permata memperoleh peruntukan yang hampir sama dengan jumlah subsidi berkenaan untuk tahun ini.

Tiada ulasan: