Jumaat, 12 Ogos 2011

Pengerusi Mara: Asyraf sihat, boleh keluar hospital

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Pelajar Malaysia di London, Asyraf Haziq Rosli yang cedera diserang dan disamun sekumpulan belia lelaki yang terbabit dalam rusuhan di London, kini berada dalam keadaan sihat dan boleh dibenarkan keluar daripada hospital.

Pengerusi Mara Datuk Seri Idris Jusoh berkata bagaimanapun Asyraf, 20, pelajar tahun pertama pengajian perakaunan tajaan Mara di Kolej Kaplan masih tidak dikeluarkan daripada hospital atas sebab tertentu.

“Beliau dah selesai menjalani rawatan dan berada dalam keadaan yang baik serta sudah boleh keluar daripada hospital.

“Sebenarnya cuma tak dikeluarkan lagi kerana kita tak mahu apabila dia keluar banyak sangat pemberita... dan kita tidak mahu ganggu dia sangat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran dan Penubuhan Inkubator, Usahawan Kolej Poly Tech MMARA Kuala Lumpur dan bazar Ramadan di sini.

Asyraf yang patah gigi dan bengkak pipinya setelah diserang telah dihantar ke Hospital Royal London untuk dibedah.

Dipetik Bernama Online, beliau berkata pihaknya kini berusaha untuk menghantar ibu Asyraf ke London untuk melihat keadaan kesihatan anaknya itu di sana.

Menurutnya ibu Asyraf sudah dihubungi dan diberitahu mengenai perkara tersebut dan beliau berasa gembira serta tidak sabar untuk bertemu dengan anaknya di London.

Tiada ulasan: