Khamis, 25 Ogos 2011

Pelajar Al Azhar menang pertandingan cipta kad raya

Harakahdaily


(Abang Mohd Akhmal menerima cek RM3,000 dari Mohamad Sabu)


KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Universiti Al Azhar, Mesir, Mohd Akhmal bin Ali @ Atan telah memenangi hadiah pertandingan mencipta kad raya PAS.

Beliau yang berasal dari Johor itu menerima hadiah wang tunai RM3,000 sebagai hadiah manakala kad raya ciptaannya telah dicetak oleh PAS sebagai kad rayanya tahun ini.

Hadiah itu diterima oleh abang beliau dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam tadi.

(Kad rekaan asal Mohd Akhmal yang menang hadiah pertama)

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dengan diperhatikan oleh para kira-kira 100 tetamu majlis itu termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

Hadiah kedua bernilai RM2,000 pula dimenangi oleh Mohd Ridzuan Abd Wahab, pelajar sebuah institut pendidikan guru yang berasal dari Terengganu.

Manakala hadiah ketiga pula dimenangi oleh Farid Al Athorraz bin Ahmad Radzi yang berasal dari Batu Gajah, Perak. Beliau membawa pulang wang tunai RM1,000.

Pertandingan yang bertemakan 'Bersatu ke Putrajaya' ini dianjurkan oleh Jabatan Pilihan Raya PAS (JPP) sebagai sebahagian dari kempen ke Putrajaya yang dianjurkannya.

Hampir 50 penyertaan diterima selepas iklan pertandingan ini disiarkan selama lima hari sahaja dan dalam Harakahdaily sahaja.

Sebanyak 200,000 keping kad raya telah dicetak berdasarkan ciptaan pemenang pertama itu dan akan diedarkan ke seluruh negara mulai hari ini.

Organ-organ dalam PAS yang berminat untuk mendapatkan kad raya ini untuk disampaikan kepad orang ramai boleh menghubungi perhubungan negeri masing-masing mulai hari ini.

Sempena majlis malam tadi, kira-kira 100 tetamu yang menyertai majlis berbuka PAS itu dihadiahkan sekeping kad raya itu.

Tiada ulasan: