Selasa, 16 Ogos 2011

Panel Parlimen: SPR tak sangka tapi anggap langkah tepat baiki sistem



Wan Ahmad yakin parti-parti politik akan menggunakan jawatankuasa pemilih Parlimen sebagai platform terbaik kerana SPR tiada kuasa meminda undang-undang pilihan raya.


KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sama sekali tidak menjangka langkah pentadbiran Najib, yang semalam mengumumkan keputusan membentuk panel Parlimen bagi menghalusi isu berkaitan urusan pilihan raya tetapi menegaskan, ia akan membantu menambah baiki sistem sedia ada.

Justeru kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, langkah itu akan banyak membantu suruhanjaya dalam menghadapi kritikan dan tuntutan sejak kebelakangan ini.

“Saya tidak menjangka Perdana Menteri akan membuat... tidak sangka beliau akan mengambil langkah ini, bagaimanapun saya melihat Perdana Menteri telah membuat kenyataan yang tepat dan beliau telah menunjukkan keikhlasan untuk membawa kebaikan dan kepuasan di kalangan rakyat mengenai sistem pilihan raya,” katanya kepada The Malaysian Insider.

“SPR melihat ini (membentuk jawatankuasa pemilih) jalan terbaik, berbanding sebelum ini, kini sudah ada jalan... perkara ini boleh dibincang dan diputuskan sesama parti politik, parti-parti politik boleh memulakan langkah, mencadangkan undang-undang jika mahu,” kata Wan Ahmad lagi.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan jawatankuasa pemilih Parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya dalam masa terdekat bagi mengelakkan sebarang syak wasangka wujudnya manipulasi oleh kerajaan.

Najib berkata panel itu yang akan dianggotai oleh anggota parti kerajaan dan pembangkang akan membincangkan apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan kata sepakat ke arah itu.

“Ini supaya kita akan dapat kata sepakat untuk mengendalikan pilihan raya akan datang tanpa sebarang rasa syak wasangka bahawa ada sesuatu manipulasi yang dilakukan oleh kerajaan,” kata Najib.

Najib mengumumkan langkah itu susulan perhimpunan Bersih 2.0 bulan lalu yang mengetengahkan lapan tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya.

Susulan perhimpunan itu, pada minggu lalu, Pakatan Rakyat yang mempertikaian status daftar pemilih, meminta Najib memanggil sidang Parlimen khas bagi membincangkan isu-isu pilihan raya khususnya dakwaan menjadikan warga asing sebagai pemilih dengan dianugerahkan status kewarganegaraan kepada pemastautin tetap.

Dengan perkembangan terbaru ini, kata Wan Ahmad, kini parti-parti politik sendiri boleh membincangkan segala perkara yang mereka merasakan perlu untuk memperbaiki sistem yang sedia ada.

“Pengumuman membentuk jawatankuasa pemilih ini bermakna parti-parti politik sendiri boleh mengadakan perbincangan dan memberi syor-syor yang mereka rasakan perlu... sebab sebagaimana kami katakan sebelum ini, SPR merupakan badan pengendali pilihan rayaa, kami tiada kuasa meminda undang-undang, kerana peraturan dan akta digubal oleh Dewan Rakyat,” kata Wan Ahmad.

“Saya melihat ini kali pertama kerajaan mengambil langkah seperti ini... mengadakan jawatankuasa pemilih Parlimen bagi tujuan mengkaji dan meneliti urusan berkaitan dengan pilihan raya,” katanya lagi.

Justeru kata beliau, SPR melihat forum yang hendak diwujudkan oleh kerajaan merupakan platform terbaik bagi kesemua parti politik.

“Jadi, dia (parti politik) ada perwakilan... macam amalan di Australia, langkah (pengumuman) ini perkara yang baik sebab undang-undang dan akta berpunca daripada kelulusan Parlimen, jadi saya melihat ini sebagai langkah awal ke arah pembaharuan urusan pilihan raya,” kata Wan Ahmad sambil menambah:

“Parlimen merupakan platform yang baik untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan pilihan raya.”

Sebelum ini, SPR berulang kali menekankan bahawa pihaknya tiada kuasa untuk meminda peraturan dan undang-undang pilihan raya, sebaliknya hanya melaksanakan pilihan raya mengikut peraturan dan akta yang sedia ada.

Pengurusan pilihan raya oleh SPR tertakluk kepada Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya), 1981, Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003. Selain itu Perkara 113 hingga Perkara 120 dan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan dan perkara lain yang berkaitan dalam Perlembagaan Negeri hendaklah juga dirujuk.

Wan Ahmad berkata mengambil kira pengalaman di Australia jawatankuasa pemilih akan dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen mengikut keanggotaan di Dewan Rakyat iaitu wakil kerajaan, pembangkang dan Bebas.

Kini, Barisan Nasional (BN) mempunyai 137 anggota di Dewan Rakyat, 75 wakil Pakatan Rakyat (DAP 29, PKR 23, PAS 23), Parti Sosialis Malaysia satu manakala Bebas sembilan.

Ketika ditanya sama ada rakyat boleh mengharapkan pembaharuan menyeluruh dan sebagainya, Wan Ahmad berkata, sukar untuk dikatakan buat masa sekarang.

Ini kerana menurut beliau, “kita belum tahu lagi mekanisme dan terma rujukan jawatankuasa pemilih ini.”

“Jadi kita kena tunggu dulu, kemungkianan dalam beberapa hari lagi kita akan mengetahui mekanisme dan terma rujukan, apa yang akan dihalusi... baru kita boleh tahu bakal hasil perbincangan,” kata beliau lagi.

Tiada ulasan: