Rabu, 3 Ogos 2011

Pakar patologi: Sarbaini terjatuh dengan tak sengaja

BERNAMA



Ahli patologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Profesor Madya Dr Faridah Mohd Noor berkata Ahmad Sarbaini Mohamed terjatuh dari tempat yang tinggi dengan tidak disengajakan, dan beliau menolak berlakunya unsur bunuh diri atau dibunuh.

Beliau juga berpendapat penolong pengarah kastam Selangor itu tidak membunuh diri kerana tidak ada sebarang nota bunuh diri dijumpai di tempat kejadian, selain tidak terdapat kesan kecederaan pada pergelangan tangan akibat dikelar.

"Sekiranya Ahmad Sarbaini telah dibunuh dan dicampak keluar melalui tingkap di pantri itu, akan dijumpai kesan pergelutan di kawasan berkenaan, namun hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan pergelutan ditemui," katanya.

Dr Faridah berkata jika mangsa cuba mempertahankan diri atau melawan kembali jika diserang, sudah pasti terdapat kesan kecederaan atau luka pada badan Ahmad Sarbaini.

Beliau memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa kematian Penolong Ahmad Sarbaini adalah disebabkan pendarahan teruk di kepala akibat terjatuh dari tempat tinggi selain kesukaran untuk bernafas.

Katanya, pemeriksaan ke atas mangsa mendapati kecederaan yang dialaminya konsisten dengan kesan jatuhan dari aras tiga, bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata darah yang banyak keluar daripada mulut, hidung dan telinga kiri juga menyebabkan mangsa sukar bernafas.

"Mangsa tidak dapat bernafas dengan baik disebabkan pengaliran darah yang menutup saluran pernafasannya," kata Dr Faridah yang juga pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Hanim Mohd Rashid pada prosiding inkues untuk menyiasat kematian Ahmad Sarbaini.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM di Jalan Cochrane pada 6 April.

Dia dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai kastam.

Dr Faridah, yang menjalankan bedah siasat ke atas Ahmad Sarbaini pada 6 April lepas berkata terdapat 42 kesan kecederaan pada badan mangsa.

"Hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan lebam dan luka pada mata, dagu, dahi, pergelangan tangan, dada, dan juga beberapa kepatahan pada tulang tangan dan lutut, serta retak di bahagian tengkorak yang ditemui pada badan mangsa," katanya.

Beliau berkata kecederaan patah pada kaki sebelah kanan hingga menyebabkan tulang pada bahagian lutut mangsa terkeluar adalah konsisten dengan kesan jatuhan dari tempat tinggi.

Selain itu, keadaan sebelah kasut yang tertanggal daripada kaki mangsa dan jam tangan tercabut juga konsisten dengan kesan jatuhan tersebut, katanya ketika menjawab soalan peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili SPRM.

Saksi ke-29 itu juga berkata Ahmad Sarbaini dianggarkan meninggal dunia antara jam 7 pagi hingga 11 pagi, dan tubuh mangsa didapati suam selain kekejangan otot masih berlaku, ketika mayatnya ditemui pada 6 April lepas.

Prosiding di depan Koroner Aizatul Akmal Maharani disambung esok.


Tiada ulasan: