Sabtu, 13 Ogos 2011

Najib: BN mahu jumpa SPR jamin pilihan raya bersih

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Barisan Nasional (BN) akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan kaedah terbaik untuk memastikan proses pilihan raya di negara ini berjalan dengan bersih dan adil.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata isu pilihan raya yang bersih dan adil juga menjadi perhatian dan komitmen parti dan bukan dimonopoli oleh pihak lain semata-mata.

“Kita akan berunding dengan SPR dan pihak-pihak lain juga boleh berunding, supaya SPR boleh merumuskan sesuatu kaedah yang boleh menjamin supaya pilihan raya ini tidak boleh dipertikaikan,” katanya dipetik Bernama Online.

“Kita (BN) bersikap terbuka dalam hal ini dan apa-apa formula yang baik kita akan bincang dengan SPR. Semoga salah anggapan ini seolah-olah BN tidak memperjuangkan prinsip ini (bersih dan adil) untuk mengadakan pilihan raya yang bersih dan bebas, BN dapat sangkal sama sekali,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini.

Mengenai sidang khas Parlimen yang dituntut oleh pihak pembangkang, Najib berkata, “Sampai pada masanya kita akan buat sesuatu kenyataan nanti.”

Sementara itu, beliau berkata Dewan Tertinggi BN menerima empat pertubuhan sebagai anggota bergabung BN iaitu Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia, Gabungan Persatuan-persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Pertubuhan Seni Silat Gayung Malaysia dan Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah.

Katanya, BN masih membuka permohonan kepada mana-mana pertubuhan yang ingin bergabung dengan parti itu.

Tiada ulasan: