Jumaat, 26 Ogos 2011

MCA diyakini akan tingkat prestasi di Melaka pada PRU - Ali Rustam


MELAKA - Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata parti MCA diyakini akan meningkatkan prestasi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang berasaskan maklum balas yang diterima sehingga kini.

Beliau berkata parti itu yang diperuntukkan sebanyak lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua kawasan Parlimen daripada 28 kerusi DUN dan enam kawasan Parlimen keseluruhan, kini memperlihatkan peningkatan sokongan.

"Saya lihat secara keseluruhan ahli parti itu telah melakukan tugas parti dan mendekati para pengundi bagi PRU akan datang ini dan usaha ini mesti dilakukan secara berterusan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek di Seri Negeri di sini Rabu.

Dalam pertemuan lebih sejam itu, Mohd Ali berkata beliau telah berbincang secara am senario politik dan rangka kerjasama parti itu dan Barisan Nasional (BN) secara keseluruhan.

"Saya dan Dr Chua juga berbincang isu-isu yang digunakan oleh pembangkang pada masa kini dan bagaimana isu ini perlu diterangkan kepada pengundi untuk menangkis dakyah-dakyah mereka," katanya.

Pada PRU 2008, MCA menang di empat kawasan DUN dan satu kawasan Parlimen untuk pencapaian keseluruhan 50 peratus manakala UMNO Melaka menang 100 peratus di 18 kerusi DUN dan empat kawasan Parlimen yang ditandingi.

Beliau berkata dua kerusi DUN di Ayer Keroh dan Kesidang yang 'dirampas' oleh DAP daripada MCA pada PRU lepas, boleh dimenangi semula sekiranya ahli parti itu bersatu padu dan berusaha lebih rajin dalam memenangi hati pengundi.

Mengenai kerusi di DUN Bachang, yang kini diperuntukkan kepada parti Gerakan, Mohd Ali berkata UMNO mungkin akan bertanding di DUN itu pada pilihan raya umum akan datang.

"Peluang untuk BN menang di Bachang adalah lebih baik sekiranya Umno atau MCA yang bertanding," katanya.

Bagaimanapun, kata putus mengenai perkara itu akan dibincangkan di peringkat pucuk pimpinan parti ketika menghadapi PRU kelak.

DUN Bachang adalah satu-satunya kerusi yang menjadi kuota parti Gerakan sejak PRU 1995.

- Bernama

Tiada ulasan: