Sabtu, 13 Ogos 2011

Mana laporan KPI menteri kabinet?

Perdana Menteri, di awal pengambilalihan pemerintahan, pernah mengatakan semua menteri kabinetnya tertakluk kepada KPI dan siapa yang gagal berpotensi disingkirkan.



PETALING JAYA: Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentang segera laporan Indeks Prestasi Utama (KPI) kesemua menteri kabinet beliau.

Menurut Badrul Hisham, di awal pengambilalihan pemerintahan kerajaan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, Najib dengan gah mengatakan semua menteri kabinetnya tertakluk kepada KPI (Key Performance Index) dan siapa yang gagal berpotensi disingkirkan daripada kabinet.

Pada ketika itu rakyat melihat Najib akan mewarisi ketokohan ayahnya Abdul Razak Hussein yang tegas dan berjaya memacu negara dengan meninggalkan legasi yang tak dilupakan.

Najib diperlihatkan kononnya akan membawa Malaysia keluar dari zaman lemah ketika dikemudi Abdullah.

“Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Koh Tsu Koon diambil menyertai kabinet sebagai penyelia pencapaian walaupun pencapaian Tsu Koon sendiri sebelum itu menjadi penyumbang besar tumbangnya Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang.

“Tsu Koon seharusnya menjaga program-program seperti KPI dan NKRA yang dicetus Najib. Ternyata Najib memperakui Tsu Koon gagal kerana Najib membawa masuk Idris Jala dari dunia korporat ke dalam kabinet sebagai pembantu Tsu Koon.

Menjaga hati Gerakan

“Penjelasan yang munasabah ialah perlantikan Tsu Koon hanya untuk menjaga hati Gerakan dan Najib harap dapat menambat hati orang Cina dengan mengekalkan ‘kuota’ menteri berbangsa Cina.

Apakah kedudukan seorang menteri datang dengan begitu mewah dan segala peruntukan dan kemudahan lebur hanya untuk percaturan politik perkauman Najib?,” tanya Badrul Hisham.

Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegu Bard memberitahu bahawa saiz kabinet Malaysia cukup besar kerana mahu menampung keperluan politik seperti memasukkan Ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil dan kini Presiden MIC G Palanivel.

“Adakah yang memenangi kerusi parlimen BN tidak layak untuk menduduki kabinet atau Najib tidak mengiktiraf pilihan rakyat yang mengangkat ahli parlimen melalui pilihanraya?

“Memang kabinet kita besar. United Kingdom dengan 62 juta penduduk ada 23 menteri; Perancis 66 juta penduduk ada 23 menteri; Amerika Syarikat 312 juta penduduk ada 12 ahli kabinet dan Switzerland lapan juta penduduk ada tujuh menteri.

“Kita dengan 28 juta penduduk, mempunyai 30 menteri. Adakah ini berbaloi?,” soal Chegu Bard.

Idris Jala telah pun membentangkan laporan NKRA beberapa kali dan hampir setiap kali beliau membentangkan laporan itu, beliau seolah terlupa janji Najib yang akan membentangkan KPI menteri dan pegawai tinggi.

“Yang berkumandang hanya kadar jenayah menurun dan matlamat NKRA sedang dicapai. Itupun sejauh mana kebenaran belum diketahui lagi kerana setiap hari orang kena bunuh, mayat reput ditemui, orang kena ragut sampai mati dan macam-macam lagi jenayah ngeri.

“Yang pasti negara seperti negara polis apabila tak ada kawasan perumahan di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya yang tak dikepung dan dikawal siang malam.

Tidak cukup dengan itu, ada kawasan kejiranan yang terpaksa mengutip duit penduduk untuk upah pengawal di pintu masuk kawasan mereka,” jelas Chegu Bard.

Idris dilihat hanya sebagai alat untuk memberikan sedikit wajah segar kepada kabinet Najib yang lemah dan jauh sekali dengan iltizam transformasi yang dijanjikan oleh beliau sebelum ini.

Tiada ulasan: