Isnin, 8 Ogos 2011

Mahkamah arah Khir Toyo bela diri



Dr Mohd Khir Toyo di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. — Foto oleh Jack Ooi

SHAH ALAM — Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo agar membela diri atas tuduhan memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta daripada sebuah syarikat empat tahun lalu.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memutuskan demikian pagi ini selepas mendapati pendakwa telah membuktikan kes prima facie ke atas pemimpin politik itu.

Oleh itu, Dr Khir (gambar) akan membela diri pada 26 September ini.

Mengikut pertuduhan, Dr Khir didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Ditamas Sdn. Bhd. melalui pengarahnya, Shamsuddin.

Hartanah tersebut yang terletak di Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Khir, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

MENYUSUL LAGI

Tiada ulasan: