Ahad, 28 Ogos 2011

LAWAK TERKINI SPR: ASKAR BERUMUR 111 TAHUN MASIH BERKHIDMAT

RONTOG DAILY

Nampaknya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus menjadi bahan jenaka.

Lawak terkininya ialah apabila di dalam rekod daftar pemilih terdapat seorang askar berumur 111 tahun masih lagi berkhidmat dalam tentera!

Selain itu rekod daftar pemilih SPR juga menunjukkan ada seorang askar yang mempunyai dua isteri yang sama nama dan seorang wanita Cina yang lahir dua kali pada abad lalu.

Kesemua bahan jenaka itu didedahkan oleh Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Anthony Loke dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

Askar berumur 111 tahun yang masih berkhidmat itu bernama Hisni Bin Isnain yang bernombor tentera T1102918 dan lahir pada 24 Julai 1900. Beliau direkodkan masih berkhidmat di Kem Sunggala, Bagan Pinang, Port Dickson.

Anthony Loke

“Hebat sekali anggota tentera kita. Sudah berumur lebih 100 tahun pun masih berkhidmat,” ujar Loke dengan nada sinis.

Loke, Ahli Parlimen Rasah, yang juga Adun Lobak turut mempertikaikan Menurutnya, satu lagi keganjilan yang ditemui ialah nama bagaimana seorang pengundi di kem tentera Jalan Rasah, iaitu Nor Hisham bin Md Darus dengan kad pengenalan tentera T1091492 boleh mempunyai seorang isteri bernama Khadijah Binti Husin yang mempunyai dua kad pengenalan, iaitu 79022011518 dan 700220115182.

“Adakah Nor Hisham ini mempunyai dua isteri dengan nama yang sama dan ejaan nama yang sama?” tanya beliau.

DAP juga, menurut Loke, menemui dalam daftar pemilih nama seorang pengundi Swee Lan @ Chia Swee Lan yang lahir pada 17 September 1918 yang mempunyai kad pengenalan baru dan lama bernombor 410917055006 dan 1559230.

Daripada maklumat dua kad pengenalan itu, tidak dapat dipastikan sama ada Swee Lan telah dilahirkan dua kali, iaitu pada 1918 dan 1941.

Selain itu ‘keganjilan’ lain yang ditemui ialah nama 21 individu daripada beberapa keluarga Cina dan India yang berdaftar sebagai tinggal di sebuah kedai yang dijadikan pusat khidmat tidak rasmi seorang pemimpin MCA di Negeri Sembilan.

Kedai itu yang beralamat di A11-2 Metrix Medan Jalan Manikawasagan, Seremban mempunyai 10 pengundi Cina dan 11 India.

“Ini membuktikan satu penipuan yang jelas kerana tidak munasabah sebuah kedai, dan bukannya rumah, boleh mempunyai begitu ramai pengundi daripada keluarga yang berbeza,” katanya.

“Ini hanya di kawasan Parlimen dan DUN saya sahaja, dan hanya beberapa kes sahaja yang dapat kami kesan, kerana bukannya mudah untuk mengesan pengundi-pengundi misteri ini,” kata Loke.

Justeru, beliau berkata, walau pun penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen (PSC) adalah satu langkah yang boleh diterima, tidak ada gunanya jika masalah pelik yang boleh menimbulkan keraguan dalam sistem pilihan raya negara gagal diatasi.

“Begitu juga kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya yang angkuh kerana mengatakan mereka boleh menolak apa-apa keputusan PSC. Maksudnya, masalah-masalah ini tidak akan selesai,” katanya. – HM

Tiada ulasan: