Khamis, 18 Ogos 2011

Kes Zunar saman polis 13 Sept

FREE MALAYSIA TODAY

Beliau menamakan pegawai yang menahannya, pegawai penyiasat, Ketua Polis Negara, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.



PETALING JAYA: Mahkamah menetapkan 13 September depan sebagai tarikh sebutan kes saman kartunis politik Zunar terhadap polis,

Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia kerana telah menangkap beliau secara tidak sah pada September tahun lalu.

Beliau menamakan pegawai yang menahannya ASP Arikrishna Apparau, pegawai penyiasat ASP Marina Hashim, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Pada 24 September tahun lepas, sekumpulan 10 anggota polis diketuai Arikrishna menyerbu pejabat Zunar di Brickfields, Kuala Lumpur dan menahan beliau di bawah Akta Hasutan dan dilokapkan.

Penahanan itu dibuat beberapa jam sebelum majlis pelancaran bukunya bertajuk “Cartoon-O-Phobia”.

“Turut dirampas ialah 66 buah buku kartun tersebut serta sebuah lukisan kartun asli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Zunar telah mendapat pengiktirafan dari BilbaoArte/Fundacion BBK sebagai Artists-in-Residence dalam program “Art andCensorship” (Seni dan Penapisan) iaitu sebuah yayasan kesenian di Bilbao, Sepanyol..

Katanya, pengiktirafan itu merupakan satu kejayaan bagi aktivis-aktivis yang berjuang menentang penapisan dan kekangan hak bersuara di Malaysia.

“Ia akan memberi kekuatan baru menghasilkan karya yang lebih tajam dan berkesan dalam usaha menentang korupsi, pembaziran wang rakyat, salah guna kuasa dan kezaliman yang diamalkan oleh pemerintah.

“Ia juga merupakan satu isyarat kepada kerajaan agar menghentikan segala bentuk ancaman, ugutan dan tindakan jenayah terhadap saya dan artis-artis lain di Malaysia, kerana masyarakat seni di seluruh dunia sedang memerhatikan segala tindak tanduk mereka,” katanya.

BilbaoArte menganjurkan program tiga bulan bagi membantu artis-artis memperjuang dan mempertahankan hak berkarya mereka yang menghadapi penapiasan/tekanan pihak berkuasa.

Seramai 20 artis dari seluruh dunia yang merupakan pelukis, pengukir dan pencipta hasil seni yang lain dipilih untuk menyertai program ini bagi tahun ini.

Tiada ulasan: