Selasa, 9 Ogos 2011

Kes isteri dan anak dikerat: Suami tak terlibat

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan suami seorang wanita yang mayatnya dikerat-kerat di sebuah unit pangsapuri di Ampang pada Rabu lalu tidak terlibat dalam pembunuhan itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah memberitahu bahawa ini didasarkan kepada keterangan yang diambil daripada lelaki tempatan itu semalam.

Dipetik Bernama Online beliau juga mengesahkan bahawa kanak-kanak lelaki yang mayatnya ditemui dalam sebuah beg plastik di tempat yang sama pada hari berkenaan adalah anak pasangan itu.

Mayat kedua-dua beranak itu telah dituntut oleh lelaki berkenaan.

Tun Hisan enggan mendedahkan identiti lelaki itu ataupun maklumat mengenai perkahwinan pasangan itu kerana menurutnya ia tidak perlu untuk pengetahuan umum.

Bagaimanapun, katanya, polis sedang meneliti dokumen perkahwinan mereka yang ada pada lelaki berkenaan untuk tujuan pengesahan dan membantu siasatan.

Rabu lepas, polis menemui keratan tubuh dan organ manusia termasuk usus dalam beberapa beg plastik serta dalam mangkuk tandas di sebuah unit di tingkat lima Pangsapuri Astaria, Taman Kosas, Ampang.

Selepas siasatan awal, polis mengesahkan kesemua beg plastik itu mengandungi keratan mayat seorang wanita warga asing berumur 30-an dan seorang kanak-kanak lelaki yang dianggar berusia antara lima dan enam tahun.

Dua hari lepas, lapan lelaki asing berumur antara 26 dan 38 tahun ditahan polis di Ampang.

Polis juga menemui satu alat yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu.

Tiada ulasan: