Selasa, 23 Ogos 2011

Kerugian meningkat, MAS timbang tangguh terima A380


KUALA LUMPUR — Malaysia Airlines (MAS) sedang mempertimbangkan untuk menangguhkan keanggotaannya dalam pakatan kumpulan pesawat global, Oneworld dan penerimaan pesawat super Airbus A380 ketika pengurusan barunya sedang memfokus usaha mengurangkan kerugian.

The Malaysian Insider difahamkan MAS akan mengumumkan kerugian terbesarnya bagi suku kedua hari ini, secara tradisi tempoh perniagaan yang lemah, daripada kerugian bersih RM242.3 juta pada suku pertama yang berakhir 31 Mac.

Ia merekodkan kerugian pracukai RM532.6 juta pada suku kedua 2010.

“Exco bertemu minggu lalu dan kami sedang melihat opsyen-opsyen menangguhkan pakatan dengan Oneworld kerana ia akan menelan kos untuk menyediakan khidmat antara penyedia perkhidmatan dan juga menaik taraf ruang istirahat mengikut standar mereka,” kata sumber syarikat kepada The Malaysian Insider.

“Mereka juga melihat kemungkinan melewatkan penyerahan pesawat-pesawat A380. Ia sudah pun melewatkan penerimaannya sejak 2008 tetapi exco memikirkan sama ada ia boleh membawa hasil kepada MAS,” katanya lagi.

Jawatankuasa eksekutif yang diketuai oleh Pengerusi MAS Tan Sri Mohd Nor Mohd Yusof kini sedang menguruskan syarikat itu selepas pengarah urusannya Tengku Datuk Azmil Zahruddin meletakkan jawatan berkuat kuasa 9 Ogos lalu.

Peletakkan jawatan Azmil diumumkan selepas pemegang saham terbesar syarikat itu Khazanah Nasional Berhad menukar 20.5 peratus saham dalam MAS untuk mengambil alih 10 peratus saham dalam AirAsia pada 9 Ogos lalu.

Langkah itu membolehkan dua ketua AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dan rakannya Datuk Seri Kamaruddin Meranun duduk dalam lembaga MAS dan membantu memperbaiki kedudukan syarikat penerbangan negara itu.

Satu lagi sumber mengesahkan mengenai kemungkinan kelewatan memandangkan MAS hanya anggota lantikan Oneworld sejak Jun lalu dan ia perlu melalui satu proses, yang kemungkinan mengambil masa 18 bulan sebelum menjadi anggota penuh kumpulan pesawat penerbangan terbesar dunia.

MAS telah menempah enam A380 pada 2003 dan pesawat pertama sepatutnya diserahkan kepadanya pada April 2012.

Penyerahan pesawat terbesar sudah pun dilewatkan tiga kali iaitu sepatutnya pada Januari 2007, Januari lalu dan kemudian suku kedua tahun depan.

Tiada ulasan: